fbpx

Tissa Biani, Dul Jaelani sedia kahwin muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TISSA Biani sudah tahun berpacaran dengan anak Ahmad Dhani, Dul Jaelani.

HUBUNGAN cinta antara pelakon kecil molek Indonesia, Tissa Biani dengan anak bujang pemuzik terkenal republik berkenaan, Ahmad Dhani iaitu Dul Jaelani bukan lagi satu rahsia.

Mereka sudah berpacaran sejak dua tahun lamanya.

Ketika ditemu bual dalam program bual bicara, For Your Pagi (FYP) terbitan Trans7, Dul terbuka berbicara tentang kesediaan bernikah dengan Tissa atau nama sebenarnya, Tissa Biani Azzahra, 21.

Dua tahun kenal Dul

“Sudah dua tahun (kami berpacaran). Memang sudah mempersiapkannya. Mempersiapkan mental,” kata Dul bercanda, namun terselindung keseriusan.

Tidak menolak untuk menikah pada usia muda, Dul, 23, memaklumkan, kalau dahulu, wang dihabiskan membuta tuli, sekarang semuanya berubah.

Dia sudah mula memikirkan tentang masa depan sebagai seorang suami kepada Tissa.

DUA tahun berpacaran dengan anak bujang Ahmad Dhani iaitu Dul Jaelani, Tissa tidak menolak untuk bernikah pada usia muda.

“Dahulu, dapat duit, 100 peratus dihabiskan untuk suka-suka. Sekarang, ada bahagian buat tabungan, buat ini dan buat itu,” ujarnya.

Tersenyum melihat Dul berbicara matang tentang masa depan, Tissa juga ikut sama memperincikan seperti apa peribadi susuk seorang lelaki bernama Dul sepanjang perkenalan.

“Dia kalau tak jumpa (saya), terus menangis (ketawa),” kongsinya berseloroh.

Berstatus anak paling bagus antara lima beradik, Tissa tidak mempunyai sebarang masalah dengan peribadi Dul yang disifatkan sangat manja.

“Barangkali, Dul sifatnya manja kerana dia merupakan anak bongsu. Jadi, dia perlu kasih sayang yang lebih.

Berlakon bawah Syamsul Yusof

Ketika ditemui HibGlam usai sesi bersama peminat di TGV Central i-City, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini, Tissa berkongsi tentang aspirasinya untuk terus membina nama bukan hanya di Indonesia, bahkan di negara ini.

Hadir bertemu peminat tempatan bagi mempromosikan filem terlaris Indonesia lakonannya, KKN di Desa Penari, dia melahirkan keinginan untuk berlakon di bawah arahan pengarah sensasi, Syamsul Yusof.

Ujarnya, dia tahu tentang kehebatan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan arahan Syamsul.

DISALAH anggap bertudung kerana sering menjayakan watak sebegitu, Tissa menyifatkan teguran peminat sebagai doa buatnya.

“Kalau di Malaysia saya sempat dengar tentang filem terlaris di negara ini iaitu Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.

“Ada dengar ramai yang memuji filem ini (di Malaysia) dan bahkan di Indonesia juga sempat ditayang di sana.

“Saya rasa teringin juga ingin bermain (filem) di negara ini. Kalau pengarah filem Mat Kilau (Syamsul), saya tak begitu terperinci tahu tentangnya tapi filemnya sempat saya tahu sebab viral juga kan,” ungkapnya.

Ujar Tissa yang memainkan peranan sebagai Nur dalam filem arahan Awi Suryadi tersebut, dia akan mencari peluang dan kelapangan untuk berlakon dengan produksi filem atau drama di Malaysia.

“Mungkin suatu hari nanti boleh sertai projek lakonan di Malaysia. Kalau ada masa dan kesempatan yang bisa didapatkan di sini, mengapa tidak,” jelas Tissa yang memiliki 4.5 juta pengikut Instagram.

‘Pasti bertudung tak lama lagi’

Dalam pada itu, ditebak pertanyaan tentang persepsi peminat yang menyangka dia sebenarnya bertudung dalam kehidupan realiti disebabkan dampak lakonan Nur dalam filem terbabit, Tissa berharap agar perihal berkenaan dicernakan sebagai doa yang diangkat ke langit.

Ungkapnya, apa yang dipaparkan dalam kebanyakan projek lakonannya iaitu bertudung adalah tuntutan karakter yang perlu dilunaskan sebagai seorang aktres.

MELEDAK di Indonesia menerusi filem seram, KKN di Desa Penari, Tissa ingin melebarkan sayap ke Malaysia.

“Saya banyak melakonkan karakter wanita bertudung. Jadi, mereka (peminat) inginkan saya bertudung dalam kehidupan realiti.

“Apa yang boleh dikatakan, sekarang saya masih belum bertudung. tapi insya-Allah tidak lama lagi saya pasti akan lakukannya juga.

“Sebagai pelakon, memang menjadi tanggungjawab saya menterjemah watak diberikan sehabis baik. Netizen boleh bercakap tapi saya telah buat semampu baik,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Tissa, bertudung atau tidak, perkara tersebut tidak melambangkan keperibadian seseorang wanita.

“Bertudung itu memang kewajipan wanita Muslim. Saya bangga menjadi umat Islam. Jadi, tidak lama lagi saya pasti akan kembali kepada fitrah (bertudung).

“Orang menasihati saya dan berkata benda baik tentang perihal tersebut, saya anggap sebagai doa yang akan diperkenankan Allah SWT, insya-Allah,” ujarnya.

KKN di Desa Penari yang turut dibintangi pelakon lain seperti Adinda Thomas, Achmad Megantara, Aghniny Haque, Calvin Jeremy dan Fajar Nugraha merupakan filem terlaris sepanjang zaman Indonesia dengan jumlah tontonan mencecah lebih 10 juta orang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI