ANGGOTA kumpulan Girls’ Generation, Taeyeon bermurah hati menderma sebanyak 100 juta won bersamaan RM350,000 untuk membantu golongan belia yang kurang bernasib baik.
Menurut Stump Foundation For Youth, sumbangan dihulurkan penyanyi itu disalurkan kepada belia yang berusia 18 tahun ke atas.
Apabila seorang remaja menginjak usia 18 tahun, mereka tidak akan tinggal di tempat perlindungan kanak-kanak.
Lazimnya, mereka tidak bersedia untuk berdikari dengan segera. Jadi, yayasan tersebut menjadi tempat sokongan bagi membantu golongan belia itu.
Taeyeon turut meninggalkan pesanan buat remaja yang tidak bernasib baik untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.
“Saya tujukan mesej ini kepada remaja yang kurang bernasib baik bahawa kami ada untuk menyokong kehidupan anda.
“Saya berharap dengan dana yang diberikan ini mampu membantu ramai golongan belia menggapai impian mereka,” ujarnya.