KANGAR – Kerajaan tidak melihat keputusan untuk membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) buat masa ini adalah yang terbaik kerana majoriti pencarum mempunyai simpanan terlalu sedikit.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan sama ada keperluan pengeluaran wang simpanan itu adalah sesuatu yang mendesak selain kesannya kepada masa depan pencarum.
“Kalau tengok orang yang simpan KWSP itu, duitnya sedikit sekali. Jadi saya kena timbang keperluan mendesak dan masa depan mereka.
“Saya telah semak dan majoriti pencarum mempunyai jumlah (simpanan) yang sangat kecil. Saya bimbang tentang masa depan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang gesaan pihak tertentu yang meminta kerajaan Pusat membenarkan pengeluaran KWSP untuk membantu rakyat yang terdesak.
Tambah Anwar, beliau tidak mahu meneruskan amalan pimpinan terdahulu yang gemar mengumumkan projek pembangunan untuk kerajaan negeri pada program dihadiri.
“Nanti semasa mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), baru kita akan muktamadkan perkara penting,” katanya.
Tambahnya, keputusan yang dibuat kelak akan menjurus kepada pembangunan ekonomi Perlis yang dilihat lebih malap berbanding negeri lain. – KOSMO! ONLINE