MANCHESTER – Legenda Manchester United, Eric Cantona percaya penolakan kepada realiti bahawa karier yang semakin menuju ke penghujung menjadi punca Cristiano Ronaldo meninggalkan Old Trafford dengan cara paling tidak profesional serta memberi impak besar kepada legasi yang ditinggalkannya.
Ronaldo kembali ke ‘Theatre of Dreams’ pada 2021 dan berjaya meledak 24 gol dalam semua kejohanan pada musim pertamanya, namun tidak menjadi pilihan Erik Ten Hag pada musim kedua menyebabkan sikapnya mula berubah.
Sesi temu bual bersama Piers Morgan menjadi detik hitam bersama United apabila kritikan yang dilemparkan kepada kelab dan Ten Hag menyebabkan kontraknya ditamatkan serta-merta.
“Saya fikir ada dua jenis pemain apabila dia berada di penghujung karier. Saya, membuat keputusan bersara pada usia muda, itu satu perkara. Ada juga yang mahu bermain sehingga usia 40 tahun.
“Dua jenis pemain itu adalah mereka yang mahu turun dalam setiap perlawanan kerana mereka merasakan diri mereka masih berusia 25 tahun dan satu lagi mereka yang sedar mereka bukan lagi berusia 25 tahun, tetapi berada di kelab untuk membantu pemain muda.
“Mereka tahu bahawa mereka tidak mampu bermain dalam setiap perlawanan, tetapi masih mampu memberikan sumbangan dalam perlawanan tertentu. Contohnya, apa yang dilakukan Zlatan Ibrahimovic di Milan, Ryan Giggs dan Paolo Maldini sebelum ini.
“Saya fikir Ronaldo gagal untuk menyedari mengenai perkara itu. Dia masih menganggap dirinya berusia 25 tahun. Dia sepatutnya gembira apabila diberikan peluang dalam perlawanan tertentu. Dia perlu menerima realiti dan situasi berkenaan,” kata Cantona.
Cantona membuat keputusan untuk menggantung but pada usia 30 tahun ketika masih berada di puncak dan mampu untuk terus beraksi seleas menjulang empat kejuaraan Liga Perdana Inggeris bersama United dalam lima musim. – AGENSI