MELBOURNE – Juara bertahan yang juga pilihan utama, Rafael Nadal mengakui sukar untuk mempertahankan kejuaraan Terbuka Australia pada edisi kali ini dengan menyatakan bintang Serbia, Novak Djokovic sebagai pencabar No. 1 yang perlu diberi perhatian.
Sebagai rekod, Nadal gagal mempamerkan prestasi yang diharapkan pada kempen pramusim selepas tewas kepada jaguh Britain, Cameron Norrie dan wakil Australia, Alex de Minaur pada Kejohanan Piala United awal bulan ini.
Menurut Nadal, apa yang sudah berlaku wajar dilupakan dengan tumpuan kini terarah kepada perlawanan pembuka tirai menentang pemain muda Britain, Jack Draper hari ini.
“Saya telah diundi menentang lawan yang sukar kerana Draper telah menunjukkan peningkatan mendadak sejak beberapa bulan lalu, namun saya fokus untuk harungi aksi tersebut dan mahu melangkah ke pusingan seterusnya.
“Harus diakui momentum saya menuju ke Terbuka Australia tidak begitu positif selepas tewas pada dua perlawanan saingan Piala United yang lepas. Cuma, saya enggan terlalu memikirkan situasi tersebut dan apa yang lebih penting adalah pandang ke depan dan memberikan aksi terbaik,” katanya.
Mengulas mengenai pencabar utama, pemain kelahiran Sepanyol berusia 38 tahun itu tetap menilai Djokovic sebagai calon pilihan memandangkan statusnya selaku juara Terbuka Australia sebanyak sembilan kali sebelum ini.
“Persiapan yang dilakukan oleh Djokovic lebih rapi. Jika ada yang bertanya siapa pilihan utama sebelum kejohanan bermula, sudah tentu saya katakan Djokovic kerana dia adalah pemain No. 1 meskipun status saya adalah juara bertahan,” katanya. – AGENSI