ROURKELA – Ketua jurulatih skuad hoki negara, A. Arul Selvaraj mempertahankan kesilapan dilakukan pemain pertahanan, Muhammad Amirul Hamizan Azahar selepas tewas 0-4 kepada Belanda pada aksi pertama Piala Dunia 2023.
Amirul Hamizan, 23, memberikan penalti stroke kepada Belanda yang membolehkan naib juara edisi 2014 dan 2018 itu menggandakan kedudukan, sekali gus dilihat mengubah keseluruhan detik perlawanan tersebut.
Disebabkan itu, Malaysian Tigers terpaksa akur tewas 0-4 kepada The Oranje dan kini berdepan misi wajib menang ke atas Chile dalam aksi kedua Kumpulan C di Stadium Hoki Birsa Munda hari ini.
“Kesilapan individu memberikan (penalti) stroke. Dia masih muda, baru dalam pasukan dan mempunyai masa depan yang cerah. Dia akan belajar daripada kesilapan itu.
“Selepas itu, dia tunjukkan reaksi yang bagus dan lakukan begitu banyak kerja buat pasukan. Kita perlu positif dan beri ruang kepada pemain muda menentang pasukan-pasukan hebat di dunia seperti Belanda,” kata Arul.
Corak permainan pasukan negara pastinya akan lebih menyerang bertemu Chile berbanding mengambil pendekatan bersabar dan menanti kesilapan dilakukan lawan seperti menentang Belanda kelmarin.
Justeru, Arul menuntut kemenangan daripada anak-anak buahnya selepas mereka telah diberikan maklumat mengenai setiap pemain Chile.
“Pemain perlu tunjukkan persembahan terbaik bertemu Chile. Kami yakin akan beraksi lebih menyerang menentang mereka,” jelasnya.
Sementara itu, kapten negara, Muhammad Marhan Mohd. Jalil berharap dia dan rakan sepasukannya mengelak melakukan kesilapan mudah seperti menentang Belanda jika mahu mengutip tiga mata ke atas skuad La Roja.