MAHU muzik dan lagu Melayu klasik terus segar di tanah bertuah ini bahkan serasi dengan generasi muda membuatkan penyanyi terkenal, Dayang Nurfaizah tampil meluncurkan sebuah album baharu berjudul Belagu II.
Menariknya, album tersebut merupakan kesinambungan daripada diskografi Belagu yang dilancarkan pada 2021.
Tujuannya sama, Dayang mahu meraikan lebih banyak lagu klasik memandangkan kesemuanya sangat indah dan boleh diperdengarkan kepada peminat di luar sana.
Dengan menggunakan khidmat Budapest Scoring Budapest bersama pemuzik handalan Malaysia, Belagu II sekali lagi mendapat sentuhan susunan dan diterbitkan oleh Aubrey Suwito.
Belagu II menjadi album studio ke-10 Dayang dan diedarkan oleh Universal Music akan dilancarkan secara rasmi menerusi semua platfrom digital pada 27 Januari ini.
Menurut Dayang, dia menganggap album baharunya itu sebagai satu cara untuk memperkenalkan kembali lagu Melayu klasik kepada generasi muda.
Belagu II mengandungi lapan buah lagu klasik Melayu yang disusun semula termasuk sebuah karya baharu.
Senarai lagu yang terkandung dalam album tersebut ialah Nak Dara Rindu, Menanti Di Ambang Syurga, Ketipang Payung, Jauh Di Mata, Mengapa Dirindu, Sejak Ku Bertemu Padamu, Dari Hati Ke Hati, Umpan Jinak Di Air Tenang dan Rindu Menyapa (lagu baharu).
Penghargaan, tanggungjawab
Pada masa sama, penyanyi kelahiran Sarawak itu mahu semua yang mendengar lagu-lagu terkandung dalam album berkenaan menghayati keindahan karya klasik.
“Saya berharap semua peminat akan menghargai album ini dan menerima mesej yang ingin disampaikan.
“Saya mahu semua pendengar khususnya generasi muda mengenali lantas menghargai khazanah lagu-lagu klasik Melayu kita,” katanya.
Sementara itu tambah Dayang atau nama lengkapnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 42, Belagu II bukan sahaja tanggungjawabnya sebagai anak seni tetapi menjadi satu penghargaan buat orang-orang lama.
“Jika kita sendiri tidak mengangkat warisan ini, lambat-laun akan berkubur begitu sahaja.
“Harap album ini akan terus mengingatkan kita untuk meraikan lagu-lagu klasik Melayu demi generasi pada hari ini dan akan datang,” katanya lagi.