LONDON – Seorang lelaki di Britain yang memperoleh £10 juta (RM52.9 juta) dalam kemenangan Loteri Kebangsaan kehabisan wang selepas menyertai pelaburan yang merugikan, lapor akbar Daily Star semalam.
John McGuinness memenangi hadiah lumayan itu pada 1997. Dia kemudian menyertai beberapa siri pelaburan selain memberikan sebahagian besar wang kepada bekas isterinya.
Sebelum kemenangan itu, dia bekerja sebagai pekerja am hospital dengan pendapatan £150 (RM793) seminggu dan tinggal bersama ibu bapanya di sebuah rumah kerajaan.
Wang kemenangan McGuinness pantas menyusut setelah dia melabur untuk kelab bola sepak kesayangannya, pasukan Liga Perdana Scotland, Livingston.
Salah satu tindakan McGuinness adalah dengan membuat pelaburan berjumlah £4 juta (RM21.1 juta) ke dalam kelab bola sepak tersebut tanpa menyelidiki pentadbirannya. Akibatnya, dia bertanggungjawab ke atas semua pinjaman dan hutang kelab itu.
Dia juga membelanjakan £140,000 (RM739,862) untuk membeli sebuah kereta Ferrari Modena Spyder, £500,000 (RM2.6 juta) untuk rumah mewah di Majorca dan £1.3 juta (RM6.9 juta) untuk sebuah rumah besar di Borthwell, South Lanarkshire.
Jumlah keseluruhan perbelanjaan itu adalah lebih separuh daripada wang kemenangan loteri yang diterimanya.
Sebagai tambahan, dia memberi sekitar £3 juta (RM15.8 juta) kepada ahli keluarga terdekatnya dan £750,000 (RM3.96 juta) kepada bekas isterinya. Pasangan itu dan tidak mendedahkan perceraian mereka kepada umum.
Beban kewangan itu ditambah dengan pinjaman £2 juta (RM10.6 juta) untuk kelab bola sepak yang tidak membawa keuntungan kepadanya.
Menjelang 2007, McGuinness secara rasmi kehabisan wang setelah diberitahu oleh seorang rakannya.
Dia menyalahkan perbelanjaan wang itu terhadap bekas rakan perniagaan, Dominic Keane. Lelaki itu didakwa meyakinkannya supaya melabur dalam kelab Livingstone. McGuinnes mengekalkan profil yang rendah sejak kejatuhan dramatiknya. – Agensi