fbpx

Nurul Izzah impi jadi wartawan meja jenayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NURUL IZZAH berhasrat menceburi bidang kewartawanan selepas menamatkan pengajian di UiTM.

HOBI membaca yang dipupuk oleh ibu bapanya sejak kecil telah membawa kepada minat yang mendalam terhadap dunia penulisan.

Bukan sekadar mempunyai minat menulis, seni itu juga sudah sebati dengan jiwa mahasiswi Pengajian Komunikasi Massa, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nurul Izzah Beseri, 22.

Gadis berasal dari Subang Jaya, Selangor itu memberitahu, dia aktif menulis puisi sejak berusia 15 tahun.

Katanya, dia mula menyukai seni penulisan selepas membaca karya-karya puisi penyanyi dan pelakon tanah air, Fynn Jamal.

“Sejak kecil, ibu bapa saya sering membelikan buku dan novel. Lama-kelamaan ia memupuk minat saya untuk membaca.

“Hasil pembacaan, saya telah jatuh cinta dengan penulisan puisi sewaktu masih bersekolah menengah,” katanya sewaktu memulakan bicara.

Nurul Izzah yang turut meminati karya Tulang Kata berkata, sejak tertarik dengan seni penulisan, dia mula menulis puisi yang disimpan sebagai koleksinya sendiri.

Ujarnya, dia telah menulis kira-kira 50 puisi dan minat terhadap penulisan tidak hanya tersimpan sebagai hobi, malah dilanjutkan menjadi cita-cita.

Disebabkan itu, Nurul Izzah memilih bidang pengajian massa bagi membolehkannya didedahkan dengan bidang penulisan yang lebih luas.

Nurul IZZAH (kiri) perlu melakukan proses temu bual bagi mengisi bahan-bahan berita di dalam majalah Sasaran.

Menurut anak sulung daripada dua beradik itu, dia kini semakin suka dan jatuh cinta dengan dunia penulisan berita.

“Saya suka menulis puisi, kebanyakannya berkisar tentang kehidupan sendiri, namun selepas masuk ke universiti, saya mula tertarik pula dengan penulisan berita.

“Kini, menulis bukan sahaja sebagai hobi, tetapi saya bercita-cita mahu menceburi bidang kewartawanan dan menjadi seorang penulis berita meja jenayah,” ujarnya.

Kongsinya lagi, minat terhadap penulisan memberikannya kepuasan dan ruang untuk berekspresi serta meluahkan perkara yang dirasakannya.

Menurut Nurul Izzah, menulis puisi dan berita membawanya ke satu dimensi berbeza serta menjadikan dia lebih fokus ketika menuntut ilmu di menara gading.

Menariknya, dia turut menjadi penulis dan editor bagi majalah terbitan Pengajian Komunikasi Massa, UiTM, iaitu Sasaran.

Nurul Izzah turut bekongsi, mereka yang mahu berjinak-jinak dalam bidang penulisan perlu mempunyai identiti sendiri.

“Menjadi editor majalah Sasaran telah mengajar saya bahawa setiap penulis itu sebenarnya mempunyai identiti dan gaya penulisan yang berbeza-beza.

“Perkara itu perlu ditegaskan kepada mereka yang mahu berjinak-jinak dalam bidang penulisan. Ini kerana, gaya penulisan mencerminkan identiti penulis itu sendiri,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI