BERA – Remaja lelaki berusia 19 tahun yang dikhuatiri lemas di Sungai Pahang dekat Kampung Batu Bor, di sini kelmarin berjaya ditemukan pasukan bomba, hari ini.
Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani membe mayat mangsa dijumpai oleh Unit K9 dan pasukan Bomba dan Penyelamat Triang pada pukul 10.44 pagi pada jarak 900 meter dari lokasi kejadian di Pulau Kening.
“Pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR), kami telah menggunakan khidmat daripada Unit K9, dan mangsa, Faizal Akmal Fikri Mohd Fauzi ditemukan tersangkut pada kayu di kawasan sungai oleh anjing pengesan,” katanya.
Ismail berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke hospital berdekatan untuk tindakan susulan.
Dalam pada itu, Ismail berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari ketiga hari ini dimulakan pada pukul 8.30 pagi dengan penglibatan seramai 13 anggota dari Unit K9, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Triang dan BBP Maran.
Sabtu lalu, Faizal Akmal Fikri yang berasal dari Kampung Bukit Lada Awah, Temerloh dipercayai mandi di sungai itu bersama lima rakan lain, pada kira-kira pukul 4 petang.
Sementara itu bapa mangsa, Mohd Fauzi Mohamed Jidin, 52 reda dengan kehilangan anak bongsunya itu. – KOSMO! ONLINE