fbpx

Mahkamah: Suami isteri suspek kes bom Pandan Indah hadapi tuduhan membunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sepasang suami isteri yang merupakan suspek insiden serangan bom di Pandan Indah di bawa ke Mahkamah Majistret Ampang pagi ini bagi menghadapi pertuduhan.

AMPANG – Sepasang suami isteri yang merupakan suspek insiden serangan bom mengorbankan seorang pembantu tukang masak di Pandan Indah dekat sini pada 29 Disember tahun lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang di sini pagi ini.

Tertuduh, Khor Swee Boon, 33, dan isterinya, Ng Hui Yee, 30, menghadapi tuduhan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka dituduh bersama-sama pada 29 Disember 2022 kira-kira pukul 8.55 malam di hadapan restoran Jing Hoe Mei, Jalan Pandan Indah 1/22 melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Cho Lim Fong, 29.

Kedua-dua pasangan suami isteri itu diwakili oleh peguam bela, RSN Rayer yang juga Ahli Parlimen Jelutong, manakala pendakwaan dilakukan oleh pendakwa raya, Nurul Amirah Sam Kamaruddin.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan dan kedua-dua tertuduh hanya mengangguk kepala memahami pertuduhan yang dibacakan ke atas mereka oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Normaizan Rahim.

Rayer ketika meminta supaya tertuduh wanita dibenarkan ikat jamin memberi alasan tertuduh mempunyai dua anak kecil masing-masing berusia tujuh serta lima tahun dan mahkamah mempunyai budi bicara untuk membenarkannya.

Beliau turut merujuk kepada kes isteri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Samirah Muzaffar dibebaskan dengan ikat jamin RM500,000 oleh Mahkamah Persekutuan sementara menunggu perbicaraan atas dakwaan membunuh suaminya.

Hujah Rayer bagaimanapun dibantah oleh Nurul Amirah dengan menyatakan tiada keadaan khas untuk mahkamah membenarkan tertuduh wanita dibenarkan ikat jamin dan mahkamah tidak perlu menggunakan budi bicara.

Normaizan berkata, mahkamah tidak menggunakan budi bicara dan menetapkan 23 Mac 2022 sebagai tarikh sebutan semula, serahan dokumen, laporan bedah siasat forensik dan kimia.

Media sebelum ini melaporkan sepasang suami isteri ditahan berhubung insiden serangan bom yang mengorbankan seorang lelaki di Pandan Indah pada 29 Disember 2022.

Suspek ditahan di sebuah rumah di Kedah pada Selasa malam apabila sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya membuat serbuan untuk menahan suspek.

Ketika kejadian, mangsa difahamkan sedang cuba memeriksa bungkusan mencurigakan yang ditinggalkan di atas kereta miliknya sebelum bungkusan itu meletup ketika dia memeriksanya.

Insiden itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah di badan serta tangan dan meninggal dunia di Hospital Ampang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI