KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini dimaklumkan tiga peguam yang mewakili kes Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang menghadapi tuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down, Bella menarik diri.
Mereka ialah Mohammad Farhan Maaruf, Nur Ellena Mohamed Razif dan Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor.
Mohamad Farhan dan Nur Ellena memfailkan permohonan itu secara bertulis pada Jumaat lalu manakala Nur’Aminahtul pula berbuat demikian secara terbuka di mahkamah hari ini.
Sejurus selepas dimaklumkan perkara itu, Hakim Izralizam Sanusi berkata, pihaknya menerima permohonan tersebut walaupun ia menjejaskan kelancaran perbicaraan yang tertangguh beberapa kali sebelum ini.
Kata hakim itu, perkara tersebut tidak wajar berlaku kerana tarikh sudah ditetapkan dan dipersetujui semua pihak.
Mereka mempunyai masa mencukupi untuk membuat permohonan sekiranya mempunyai sebarang masalah.
“Bagi peguam Nur’Aminahtul, adalah menjadi tugas mahkamah meneliti permohonan itu (tarik diri), namun pada akhirnya ia adalah hak peguam itu sendiri.
“Dalam rekod mahkamah masih ada baki peguam mewakili kamu (Siti Bainun) iaitu Nurul Hafidzah Hassan dan Asiah Abd Jalil, jadi saya perlu minta mereka nyatakan pendirian.
“Saya tangguhkan (perbicaraan) esok untuk mengetahui status peguam sama ada kamu mencari peguam baharu menggantikan Nur’Aminahtul atau kekalkan Nurul Hafidzah dan Asiah,” katanya.
Terdahulu, ketika hakim Izralizam meminta penjelasan mengapa permohonan itu dikemukakan pada saat akhir, Nur’Aminahtul menjelaskan, pihaknya berbuat demikian kerana kekangan masa selain pembahagian tugasan sudah dibuat.
Sementara itu, Siti Bainun berkata, dia hanya mengetahui isu peguam belanya menarik diri pagi ini.
“Saya faham Nur’Aminahtul ada beritahu saya tentang kekangan masa dan jadual peguam lain (bertindih), tetapi kita tidak dimaklumkan mengenai isu peguam tarik diri hari ini.
“Saya akan cuba mendapatkan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan atau meminta bantuan Nur’Aminahtul cari peguam lain,” kata Siti Bainun.
Jumaat lalu, Kosmo! melaporkan perbicaraan bela diri Siti Bainun akan diteruskan di Mahkamah Sesyen di sini dengan tertuduh memberi keterangan hari ini.
Ia selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah menolak notis usul yang dikemukakan Siti Bainun untuk menyemak semula selain membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan pengasas Rumah Bonda itu. – KOSMO! ONLINE