BAGAN DATUK – Seorang lelaki warga emas ditemui rentung manakala cucu perempuannya cedera dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Jalan Bagan Ikan di sini hari ini.
Mangsa, Ong Chok Seng, 82, ditemui maut setelah terperangkap di dalam bilik di rumah berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang, Asmahisham Ab. Aziz berkata, sepasukan anggota diatur gerak ke lokasi kejadian tersebut selepas menerima maklumat pada pukul 6.42 pagi.
Katanya, kejadian kebakaran melibatkan enam buah rumah kelas C yang terbakar hampir 90 peratus selain dua buah kereta dan sebuah motosikal.
Menurut beliau, ketika kejadian, hanya mangsa dan cucunya berada di rumah berkenaan.
Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Kebakaran berjaya dipadamkan pada pukul 8.06 pagi. Pihak forensik bomba kini menjalankan siasatan berhubung punca-punca kebakaran tersebut.
“Operasi yang tamat pada pukul 1.21 petang itu dibantu anggota dari BBP Teluk Intan selain Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Tiang dan PBS Bagan Datuk,” katanya. – KOSMO! ONLINE