fbpx

Isu ayam, telur tidak selesai, MAFS peroleh markah tercorot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Sabu berucap pada Majlis Amanat YB Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) bersama warga MAFS Tahun 2023 di Wisma Tani, hari ini. GAMBAR FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) memperoleh markah tercorot berdasarkan pandangan awam seperti didedahkan sesi permukiman Jemaah Menteri semalam.

Menterinya, Mohamad Sabu berkata, markah tercorot itu didedahkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali pada sesi berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya tidak terkejut dengan pandangan orang awam itu kerana masalah bekalan telur termasuk ayam sudah menjadi tumpuan negara sejak setahun lalu.

“Masalah ayam dan telur telah berlaku selama setahun dan bukan berlaku selepas kita (Kerajaan Perpaduan) ambil negara sejak Disember lalu.

“Malah, markah (tercorot) itu bersambung sejak kepimpinan lalu sehingga ke hari ini,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2023 MAFS, di sini hari ini.

Katanya, pihaknya akan cuba mengatasi isu berkenaan dan buat masa ini bekalan ayam sudah stabil, manakala bekalan telur pula dijangka dapat distabilkan tidak lama lagi.

“Kami kini sedang berbincang dengan penternak-penternak telur berkait soal subsidi sama ada ia akan disusun semula, diteruskan atau diubah cara supaya bekalan dapat distabilkan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga akan mengkaji pandangan supaya harga telur diapungkan dan subsidi harga telur diberikan kepada golongan B40. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI