fbpx

Isteri sangka diculik, suami rupanya sekatil bersama kekasih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Iera sengaja mereka-reka cerita mengenai penculikannya. – Facebook

WOLLONGONG, AUSTRALIA – Seorang lelaki di Australia memalsukan penculikannya sendiri dan menipu isterinya demi meraikan sambutan Tahun Baharu bersama kekasih gelap, lapor portal berita MailOnline.

Paul Iera, 35, ditahan Khamis lalu dan didakwa sengaja membuat pengakuan palsu.

Menurut polis, Iera meninggalkan rumahnya sejurus sebelum sambutan Tahun Baharu sekitar pukul 11.45 malam (waktu tempatan), 31 Disember tahun lalu.

Dia memberitahu isterinya bahawa ingin berjumpa dengan seorang lelaki di Dapto, selatan Wollongong.

Bagaimanapun, pasangannya menerima pesanan ringkas daripada seseorang yang menggelar dirinya sebagai ‘pekerja seks’, yang mendakwa telah menculik Iera.

Ketika perbicaraan di mahkamah, ‘pekerja seks’ tersebut dikatakan mempunyai ‘sejarah’ dengan Iera. Dia turut menghantar beberapa pesanan ringkas kepada isteri lelaki itu bagi memaklumkan mengenai penculikan itu.

Isteri Iera percaya bahawa pekerja seks itu menahan suaminya sebagai tebusan kerana mahukan   sebuah motosikal  berharga  lebih AUS$7,000 (RM21,088). Wanita tersebut kemudian melaporkan perkara itu kepada polis.

Detektif polis melancarkan siasatan dengan memeriksa rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dan bercakap dengan beberapa saksi.

Namun, mereka mendapati bahawa di antara selang waktu pesanan ringkas dihantar kepada isteri Iera, rakaman CCTV menunjukkan dia tiba bersama kekasihnya di kediaman wanita berkenaan di Dombarton.

Iera memakai singlet bola keranjang dan membawa telefon bimbit serta satu beg pakaian untuk bermalam.

“Kami mendapati bahawa lelaki berkenaan secara sengaja mereka-reka cerita mengenai penculikannya,” kata Polis New South Wales.

Pasukan penyiasat juga percaya lelaki tersebut sengaja menipu penculikannya kerana ingin menyambut malam Tahun Baharu bersama wanita simpanannya selepas meneliti rekod panggilan telefon suspek.

Majistret Chris McRobert menyifatkan kes itu sebagai ‘agak luar biasa’, namun membenarkan Iera diikat jamin. Dia perlu kembali ke mahkamah untuk sesi perbicaraan seterusnya pada hujung bulan ini. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI