fbpx

Hampir dua juta rakyat dibantu mySalam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GETB sentiasa turun padang untuk membuka kios mySalam bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai skim tersebut selain mempermudahkan proses tuntutan.

PETALING JAYA – Sejak mula diperkenalkan pada 2019, Perlindungan Kesihatan Masyarakat (mySalam) yang hanya bermula dengan 4.4 juta peserta ketika itu, kini telah berkembang untuk melindungi seramai 11.2 juta peserta.

Skim perlindungan masyarakat mySalam bukan sahaja memanfaatkan kelompok B40, bahkan faedahnya turut dinikmati golongan belia dalam kumpulan terlibat.

Ketua Pegawai Eksekutif Great Eastern Takaful (GETB), Shahrul Azlan Shahriman berkata, skim tersebut dilancarkan ekoran keprihatinan kerajaan terhadap perlindungan kesihatan rakyat Malaysia.

Katanya, mySalam yang dilancarkan pada 24 Januari 2019 juga bertujuan menyediakan perlindungan kesihatan takaful percuma kepada golongan sasar terutamanya B40 atau rakyat miskin seluruh negara menerusi Tabung Amanah mySalam.

“Langkah itu dilakukan kerajaan untuk membantu golongan miskin dan belia yang memerlukan bantuan bagi mengatasi masalah kewangan apabila menghidapi penyakit-penyakit kritikal.

“Indikator penerima yang layak dilindungi skim berkenaan adalah B40 iaitu isi rumah kumpulan pendapatan bulanan 40 peratus terendah yang penerima Bantuan Sara Hidup (BSH).

“Sepanjang tahun 2022, kami telah menerima sebanyak 482,721 jumlah tuntutan dengan anggaran purata pembayaran tuntutan bulanan sebanyak RM20 juta.

“Peningkatan pembayaran tuntutan juga telah meningkat iaitu sebanyak 91 peratus berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya,” katanya baru-baru ini.

Tambah Shahrul Azlan, pertumbuhan tersebut amat bermakna buat GETB selaku pengurus skim mySalam kerana pihaknya ingin membantu lebih ramai rakyat Malaysia ketika mereka dilanda dugaan kesihatan kritikal.

Bukan itu sahaja, katanya, pertambahan peserta kepada mencecah 11.2 juta tahun ini telah membuktikan kesedaran masyarakat akan kepentingan perlindungan takaful dan keberkesanan modul pelaksanaan skim mySalam itu sendiri.

“Sejak skim mySalam diperkenalkan pada 2019, kami giat menjalankan kegiatan promosi dan publisiti demi meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia tentang manfaat skim yang amat baik ini.

“Selaku pengendali takaful keluarga di Malaysia selama 12 tahun secara asasnya, GETB menyediakan penyelesaian takaful keluarga yang inklusif.

“Kami menyediakan perlindungan kesihatan dan kewangan kepada semua lapisan masyarakat di setiap peringkat kehidupan mereka,” jelasnya.

Namun begitu katanya, golongan sasaran skim perlindungan mySalam khususnya adalah sedikit berbeza kerana ia adalah menurut ketetapan pihak kerajaan dan dikawal selia rapat oleh Bank Negara Malaysia.

Shahrul Azlan menggalakkan penerima BSH supaya segera memanfaatkan skim mySalam kerana inisiatif itu menyediakan perlindungan kesihatan percuma oleh kerajaan kepada individu yang layak menerima manfaat.

“Orang ramai tidak perlu bimbang kerana skim mySalam tidak mengenakan sebarang caj dan semua penerima BSH yang memenuhi kriteria yang ditetapkan adalah layak untuk membuat tuntutan.

“Saya tahu ramai sebelum ini yang takut untuk mendaftar kerana khuatir akan caruman bulanan yang tinggi sebelum mereka layak menuntut sebarang manfaat.

“Stigma itu perlu dibuang kerana mySalam ini diwujudkan khas oleh kerajaan bagi membantu golongan berpendapatan rendah (B40) yang kurang berkemampuan untuk memiliki skim pelindungan takaful peribadi,” jelasnya lagi.

Ketua mySalam, Khairul Anuar (kiri) turut turun padang di kios mySalam di Hospital Kuching, baru-baru ini.

Mengulas lanjut katanya, perlindungan takaful Skim mySalam memberi manfaat untuk 45 jenis penyakit kritikal dan bayaran kemasukan hospital sehingga 14 hari.

Pembayaran tunai RM8,000 juga akan dibuat sekali seumur hidup apabila penerima didiagnos menghidapi salah satu daripada 45 penyakit kritikal, selain pembayaran tunai RM50 sehari untuk maksimum 14 hari sekiranya dimasukkan dalam hospital.

“Bukan itu sahaja, selepas penambahbaikan dibuat, kerajaan juga telah bersetuju untuk membuat pembayaran ke atas penerima BSH yang menjalani kuarantin akibat pandemik Covid-19.

“Mereka hanya perlu mengemukakan dokumen dan surat pengesahan yang membuktikan mereka telah diarahkan menjalani kuarantin sama ada di pusat kuarantin atau di rumah bagi membolehkan tuntutan dibuat menerusi mySalam,” katanya.

Selain itu, peserta skim my Salam boleh membuat tuntutan sepanjang tempoh lima tahun pelaksanaannya seperti tuntutan hospitalisasi yang akan diperbaharui setiap satu tahun.

“Sebagai contoh, jika seseorang itu telah menuntut had maksimum manfaat hospitalisasi pada tahun lalu iaitu 14 hari, pada tahun ini tuntutan itu akan diperbaharui selama 14 hari lagi.

“Manfaat sebegini dilihat dapat mengurangkan beban kewangan dan membantu pesakit kritikal untuk menguruskan keperluan rawatan mereka,” jelasnya.

Ujar Shahrul Azlan lagi, bagi memudahkan orang ramai mendaftar mySalam, pihaknya telah membuka kira-kira 143 kios yang kebanyakannya ditempatkan di hospital kerajaan di seluruh negara.

Kios tersebut akan membantu penerima mySalam untuk menyemak serta membuat tuntutan.
“Kakitangan di kios akan membantu memudahkan urusan dan ia merupakan salah satu cara untuk meningkatkan akses kepada skim mySalam.

“Pada masa sama, kami akan menambah bilangan kios ini bagi memudahkan pelanggan untuk berurusan dan sasaran kami pada tahun hadapan adalah untuk memiliki 151 kios mySalam di seluruh negara,” ujarnya.

Untuk mendapatkan ketera­n­gan lanjut, orang ramai boleh berkunjung ke kios atau hubungi talian 1-300-888-938, layari www.mysalam.com.my atau emel [email protected]. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI