KUCHING -Pasukan penyelamat terpaksa membawa dua pendaki wanita yang terkandas di Taman Negara Gunung Gading untuk bermalam, sebelum membawa mereka turun pada pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata ia untuk tujuan keselamatan memandangkan laluan untuk turun dalam keadaan gelap serta licin.
“Mangsa dijumpai pada pukul 2.21 pagi berdekatan Batu Berkubu (Kilometer 6.4) dalam keadaan kesejukan dan keletihan.
“Pihak bomba telah memberi minuman serta selimut yang dibawa semasa operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua mangsa yang berusia 57 dan 53 tahun itu berjaya dibawa turun pada pukul 12.10 tengah hari tadi, dengan jarak perjalanan sejauh dua kilometer melalui trek asal.
“Kedua-dua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan, kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.
Terdahulu, katanya bilik kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu menerima panggilan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu memaklumkan terdapat dua mangsa terkandas di Taman Negara Gunung Gading, semalam. – KOSMO! ONLINE