MELAKA – Kes Covid-19 di negeri ini merekodkan penurunan dengan jumlah terkini hanya 180 kes selepas kerajaan negeri menyarankan pemakaian semula pelitup muka susulan trend peningkatan kes positif dalam negara.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Melaka itu, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, pemantauan yang dibuat selama dua minggu menunjukkan kadar penurunan kes iaitu 250 kes pada minggu epid terakhir.
Katanya, jumlah itu terus menurun kepada 217 kes dan terkini 180 kes pada minggu lalu, sekali gus menunjukkan tahap kesedaran rakyat mengenai pencegahan penularan Covid-19 semakin tinggi.
“Minggu sebelum ini 180 kes sahaja direkodkan dalam Melaka, ini menunjukkan kesedaran rakyat negeri ini semakin tinggi dalam menjaga penjarakan dan pemakaian pelitup muka seperti disarankan sebelum ini.
“Susulan penurunan angka itu, kita masih boleh untuk tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam dan tertutup,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.
Kosmo! pada 3 Januari lalu melaporkan Melaka akan menguatkuasakan semula pemakaian pelitup muka sekiranya kes Covid-19 direkodkan kembali meningkat di negeri ini dalam tempoh dua minggu pemantauan.
Dalam perkembangan lain, Akmal memberitahu terdapat beberapa pihak memintanya untuk bertanding bagi mengisi kerusi Ketua Pemuda UMNO susulan Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan tidak akan mempertahankan jawatannya. – KOSMO! ONLINE