fbpx

Batang besi dari muatan treler ‘tertusuk’ cermin kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar keadaan kereta yang dimuat naik di akaun Cass Cheng Sook Leng.

PETALING JAYA – Seorang pemandu mengalami situasi cemas, apabila batang besi ‘terlepas’ dari muatan sebuah treler dan kemudian menusuk cermin keretanya di bahagian penumpang.

Perkara itu dikongsi menerusi kamera papan pemuka yang dimuat naik di akaun pemandu tersebut, dikenali Cass Cheng Sook Leng.

Jelas pemandu terbabit yang sedang memandu di lorong bersebelah treler itu, kejadian tersebut berlaku di Lebuh Raya Utara-Selatan pada Jumaat lepas.

“Berkongsi perkara ini untuk meningkatkan kesedaran di lebuh raya. Baru berlaku pada saya Jumaat, 13 Januari lepas, pukul 1.42 petang.

“Saya fikir saya dan anjing yang bersama saya akan mati tetapi nasib baik saya memandu perlahan di lebuh raya ini.

“Malangnya kamera papan pemuka saya tidak dapat merakam nombor plat treler berkenaan,” tulisnya di dalam kapsyen hantaran tersebut.

Cass turut berharap agar Jabatan Pengangkutan Jalan dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dapat bertindak dengan menguatkuasakan peraturan yang lebih ketat ke atas kenderaan berat seperti ini.

Sehingga kini, hantaran tersebut telah mendapat 2,600 tanda suka, 6,900 perkongsian dan 159 komen.

Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang kesal kejadian seperti ini berulang kerana sikap pemandu kenderaan berat yang tidak bertanggungjawab terhadap muatan yang dibawa.

“Sebaik tiada penumpang di bahagian hadapan, kalau tidak tak tahu apa akan terjadi kepada dia,” komen Gadiy Lim.

“Tidak boleh diterima! Sudah lah terlebih muatan, kemudian tidak diikat dengan lebih selamat pula. Kita perlukan keselamatan jalan raya Malaysia dikuatkuasakan segera,” komen Afeeq Fadhlan pula. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI