WASHINGTON – Kerajaan Amerika Syarikat (AS) menjalankan siasatan ke atas 510 penemuan objek terbang tidak dikenali (UFO) yang kebanyakannya menimbulkan ancaman terhadap keselamatan negara, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Menurut satu laporan perisikan, beberapa UFO dikesan terbang di ruang udara tentera yang sensitif berhampiran tapak senjata nuklear dan loji jana kuasa.
Pegawai-pegawai bagaimanapun berkata bahawa mereka tidak menemui sebarang bukti yang mengesahkan kewujudan makhluk luar angkasa.
Kehadiran UFO itu sama ada secara langsung membahayakan nyawa juruterbang atau mengintip tentera AS sebagai ‘musuh yang berpotensi’.
Pada 2022, Pentagon telah membuka Pejabat Resolusi Anomali Semua Domain untuk menerima dan menyiasat laporan fenomena udara yang tidak dikenal pasti.
Kerajaan AS berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan ke atas 144 penampakan objek misteri sejak 2004 di mana pegawai hanya berhasil mencari penjelasan untuk satu kes.
Bagaimanapun, jumlah laporan penemuan UFO yang disiasat kini meningkat empat kali ganda.
Laporan itu mendakwa, analisis menunjukkan bahawa objek tersebut mempamerkan ciri luar biasa dan boleh menjadi sistem pesawat tanpa pemandu atau objek seperti belon. – Agensi