PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua yang berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan.
MetMalaysia menerusi kenyataannya berkata, angin kencang utara berkelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter di kawasan perairan Condore berkuat kuasa mulai rabu,18 Januari ini sehingga 20 Januari depan.
“Angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.
“Pada masa yang sama amaran kategori pertama dengan ketinggian ombak mencapai sehingga 3.5 meter turut dikeluarkan melibatkan kawasan perairan Johor Timur, Pahang Terengganu, Kelantan, tenggara Samui, Tioman, utara Bunguran, Reef North, utara Reef South, Layang-Layang, dan Palawan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.
Justeru itu, MetMalaysia menyarankan orang awam untuk sentiasa merujuk laman web rasmi Jabatan di https://www.met.gov.my/, laman media sosial serta memuat naik aplikasi myCuaca untuk mendapatkan maklumat terkini dan sahih. – KOSMO! ONLINE