MELAKA – Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun mencuri perhatian pengunjung di pekarangan Kompleks Kraf Melaka, Ayer Keroh, di sini apabila dilihat mahir mengendalikan gasing tradisional yang semakin jarang dimainkan golongan itu pada hari ini.
Adam Tuah Rimy Azizi yang lengkap berbusana baju Melayu dan bertanjak sempat menunjukkan kepada para pengunjung cara melilitkan dan melemparkan gasing tradisional itu ke atas lapisan papan dibawanya.
Menurut murid darjah lima itu, gasing dimainkannya merupakan hasil kraft tangan bapanya Rimy Azizi Ab. Karim yang mempunyai sebuah bengkel produk kraf di Bukit Rambai, di sini.
“Saya main gasing ini sejak kecil lagi selepas tertarik dengan hasil kraf tangan ayah. Walaupun gasing ini tidak lagi popular seperti dahulu, namun minat saya untuk mempelajari cara permainan warisan ini semakin menebal dan ingin mencuba saiz gasing lebih besar,” katanya ketika ditemui semalam.
Tambahnya, ada juga beberapa pihak memberi pendapat mengenai permainan itu yang dikatakan berbahaya dan tidak sesuai dimainkan golongan kanak-kanak.
Difahamkan bapanya merupakan salah seorang pempamer yang membuka gerai pameran dan jualan sempena lawatan kerja Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing ke Kompleks Kraf Melaka, semalam.
Rimy Azizi dikatakan mempunyai kepakaran dan pengalaman hampir 30 tahun dalam penghasilan pelbagai jenis gasing dan pernah diiktiraf sebagai Ikon Negara Ku 2018. – KOSMO! ONLINE