fbpx

1,000 kota purba Maya ditemui di hutan Guatemala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tempoh lima tahun diperlukan oleh 158 pekerja untuk menggali batu untuk membina satu piramid. - Getty/iStockphoto

BANDAR GUATEMALA – Sisa-sisa peninggalan hampir 1,000 penempatan era Tamadun Maya ditemui tersembunyi di bawah hutan hujan Guatemala, lapor akhbar Mirror UK semalam.

Penyelidik menemui 964 tapak arkeologi dalam radius 1,683 kilometer persegi di bahagian selatan lembangan Mirador-Calakmul Karst yang turut meliputi kawasan di Mexico.

Kira-kira 417 tapak arkeologi tersebut yang kebanyakannya dibina pada era Praklasik iaitu 2,000 tahun lalu, dikenal pasti sebagai bandar, pekan dan kampung purba.

Ia ditemui melalui satu tinjauan udara menggunakan teknologi Pengesanan dan Jarak Cahaya (LiDAR) iaitu kaedah imbasan menggunakan cahaya daripada denyutan laser untuk melakukan ukuran.

Semasa tinjuan, pasukan penyelidik menemui jalan-jalan bertingkat berukuran lebih 160 kilometer (km) yang menghubungkan banyak kawasan penempatan.

Mereka juga menemui seni bina monumental, kemudahan pengumpulan air, bangunan istiadat, piramid, istana, pelantar, struktur kediaman, takungan dan terusan di lokasi sama.

Kira-kira 30 gelanggang bola dikesan di lokasi tersebut yang menunjukkan penduduk di kawasan itu bermain beberapa jenis sukan.

Penemuan itu menyanggah kajian terdahulu bahawa penempatan di Tanah Rendah Maya itu hanya dihuni sebilangan kecil penduduk.

Ia juga membuktikan bahawa masyarakat Maya sebenarnya jauh lebih padat dan teratur daripada yang dipercayai sebelum ini.

Kajian itu diketuai oleh ahli arkeologi dari Universiti Negeri Idaho, Richard D. Hansen dan diterbitkan dalam jurnal Ancient Mesoamerica.

Pasukan penyelidik itu berkata, mereka menemui bukti ‘kuasa ekonomi, politik, dan sosial yang luar biasa’ serta ‘ideologi agama dan politik yang bersatu dan homogen’. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI