fbpx

Sarawak bincang status wilayah dengan Perdana Menteri pada Khamis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abang Johari (tengah) menyertai acara berbasikal sempena Program Pagi Bebas Kenderaan Bandaraya Kuching di Padang Merdeka, Kuching pagi tadi.

KUCHING – Kerajaan Sarawak akan membincangkan mengenai statusnya sebagai wilayah dalam mesyuarat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia bagi memastikan pewartaan status Sarawak sebagai wilayah dilakukan secara rasmi dan bukan sekadar kata-kata.

“Kita akan bertanya adakah Kerajaan Perpaduan ini serius mengiktiraf Sarawak dan Sabah sebagai wilayah dan bukannya negeri dalam Persekutuan Malaysia.

“Kita akan lihat bagaimana keadaannya. Kami ada mesyuarat pada 19 Januari depan, jadi kami akan memastikan perkara ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Pagi Bebas Kenderaan Bandaraya Kuching di Padang Merdeka, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia bukan lagi berstatus negeri sebaliknya ditukar kepada wilayah.

Dalam pada itu, Abang Johari menyifatkan kenyataan Ahmad Zahid itu ‘sekadar cadangan’ kerana belum ada pewartaan dilakukan.

Katanya, untuk pengiktirafan itu berkuat kuasa, Perlembagaan Persekutuan mesti dipinda mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

“Dari mula lagi memang kita sepatutnya wilayah, tetapi keadaannya sudah berubah dalam 60 tahun. Sebab itu kita meminda MA63.

“Ini adalah mengikut apa yang termaktub dalam perlembagaan kita yang telah mengambil kira MA63 dan IGC.

“Sebenarnya kita wilayah, sebab itu jawatan Ketua Menteri juga ditukar kepada Premier Sarawak,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI