PETALING JAYA – Berang melihat anak perempuan bermain telefon pintar lewat malam, seorang bapa bertindak memukul menggunakan tali pinggang dan mengugut bunuh dengan sebilah parang ditahan di sekitar Lembah Subang, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada mangsa sekitar pukul 1.18 tengah hari.
Katanya, remaja perempuan berusia 15 tahun itu mendakwa dirinya telah dipukul dan diugut bunuh oleh bapa kandungnya sendiri.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis memberkas bapa mangsa yang berusia 56 tahun pada pukul 10.30 malam.
“Kami turut merampas sebilah parang pemotong daging 0.3 meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohamad Fakhrudin, punca kejadian disebabkan mangsa masih bermain telefon pintarnya hingga lewat malam dan bapa mangsa seorang yang panas baran.
“Suspek direman empat hari sehingga Selasa hadapan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat dibawah Seksuen 3(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya. – KOSMO! ONLINE