KUALA LUMPUR – Pernah dilabel sebagai artis sombong, pelakon Nadhir Nasar menjelaskan tindakan memilih watak bagi memastikan dirinya mampu memberi lakonan yang berkualiti.
Meskipun dilabel sebegitu, pemilik nama penuh Ahmad Nadhir Ahmad Nasar itu enggan mengambil pusing kata-kata negatif berkenaan dirinya dan akan terus mengekalkan prinsip tersebut.
“Memang ada beberapa produksi yang melabel saya sebegitu seperti cerewet dan sangat memilih.
“Namun saya okey sahaja dengan gelaran sebegitu sebab itu cara saya bekerja iaitu memilih watak yang saya mampu jayakan,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.
Bercerita lanjut, jejaka berusia 27 tahun itu menegaskan, dia menolak tawaran produksi memilihnya hanya untuk mengisi watak yang tidak memberi impak kepada perjalanan kariernya.
“Saya tidak boleh bekerja dengan cara sebegitu sebab belum berada di tahap yang mampu menjiwai sebarang watak dalam sekelip mata.
“Ketika ini, fasa saya ialah perlu belajar sesebuah watak dengan mendalam dan mengambil masa untuk menjiwai sepenuhnya,” katanya lagi.
Pun begitu, dia tidak memilih pelakon termasuk heroin yang digandingkan dalam mana-mana drama atau filem lakonannya.
“Saya tidak memilih pelakon, hanya watak. Tidak akan sesekali memilih siapa yang saya hendak berlakon bersama sebab saya belum layak untuk demand sebegitu.
“Tambahan pula, lebih ramai pelakon yang saya bekerjasama, lagi banyak pengalaman saya timba,” ujarnya.
Sekadar info, Nadhir kini muncul dengan drama terbaharu Projek: High Council bersama dengan beberapa pelakon lain seperti Mierul Aiman, Amir Ahnaf, Naim Daniel dan Daiyan Trisha. – KOSMO! ONLINE