ROURKELA, India – Tuan rumah, India memulakan kempen Piala Dunia Hoki 2023 dengan langkah kanan selepas mengatasi Sepanyol 2-0 di Stadium Hoki Birsa Munda kelmarin.
Kehadiran 20,000 penyokong tuan rumah ternyata memberi semangat luar biasa kepada India untuk membuka kempen Kumpulan D dengan tiga mata.
Jurulatih India, Graham Reid memberi pujian kepada pemain pertahanan yang berjaya mengekang asakan Sepanyol untuk mencari gol penyamaan.
“Pemain dapat memasukkan bola ke dalam gawang dan ia adalah permulaan yang baik terutama mencatat kemenangan pertama pada hari ini.
“Kami berlatih bermain dengan 10 pemain kerana kami fikir pada satu ketika dalam kejohanan itu kami akan bermain dengan 10 pemain.
“Pada saingan tersebut, kami menguasai serangan dan itu sangat penting. Banyak perbezaan dapat dilihat dalam perlawanan pertama ini.
“Apa yang menggembirakan saya hari ini adalah usaha bertahan dan yang kedua kami mengendalikan bola dengan baik.
“Itulah yang anda perlukan untuk memenangi Piala Dunia. Kami perlu meneruskan permainan seperti ini pada perlawanan seterusnya,” kata Reid.
India akan menentang England dalam perlawanan kedua Kumpulan D di Stadium Birsa Munda pada malam ini.
Pada aksi pertama, England mendahului Kumpulan D selepas menewaskan musuh tradisi, Wales dengan keputusan 5-0.
Argentina turut melakar keputusan positif selepas mengatasi Afrika Selatan 1-0, manakala juara 2014, Australia mencatat kemenangan besar selepas membelasah Perancis 8-0. – AGENSI