NAPOLI – Napoli terus menampilkan aksi menakjubkan pada saingan musim ini selepas membelasah Juventus 5-1 dalam saingan Serie A di Stadium Diego Armando Maradona awal pagi semalam.
Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Luciano Spalletti terus mengukuhkan cengkaman sebagai peneraju liga dengan mengumpul 47 mata, sekali gus memiliki kelebihan 10 mata ke atas pencabar terdekat, AC Milan.
Pada perlawanan itu, Napoli meledak lima gol hasil dua jaringan Victor Osimhen serta masing-masing satu gol Khvicha Kvaratskhelia, Amir Rrahmani dan Elif Elmas, manakala gol sagu hati Juventus dijaringkan oleh Angel Di Maria.
“Satu malam yang cukup menakjubkan untuk kami pada hari ini (semalam). Saya sangat gembira untuk pasukan kerana dapat meledak dua gol dan melakukan satu umpanan pada perlawanan ini.
“Saya harap kami boleh kekalkan momentum seperti ini untuk perlawanan akan datang. Kemenangan ini penting untuk terus mengukuhkan cengkaman, tetapi kami tidak boleh terlalu selesa dan perlu kekal fokus dalam setiap perlawanan,” kata Osimhen.
Pada masa sama, pemain antarabangsa Nigeria itu menggesa rakan sepasukan supaya kekal merendah diri memandangkan perjalanan masih panjang untuk mereka merangkul kejuaraan musim ini.
“Perjalanan masih panjang untuk kami pada saingan musim ini, jadi kami mahu terus mencatat kemenangan. Saya fikir kami ada peluang terbaik untuk menjadi juara pada hujung musim nanti jika terus mempamerkan aksi konsisten,” ujarnya. – AGENSI