BANDAR RAYA MEXICO – Kerajaan Mexico menguatkuasakan satu daripada undang-undang antitembakau paling tegas di dunia yang melarang sepenuhnya aktiviti merokok di tempat-tempat awam, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC).
Undang-undang tersebut yang mula diluluskan pada 2021 turut melibatkan larangan ke atas iklan bagi produk tembakau.
Beberapa negara Amerika Selatan juga telah meluluskan undang-undang mewujudkan ruang awam yang bebas rokok namun, undang-undang Mexico dianggap yang paling kukuh dan meluas di rantau Amerika.
Undang-undang sedia ada negara itu yang mula dikuatkuasakan pada 2008 telah mewujudkan ruang-ruang bebas rokok di bar, restoran dan tempat kerja.
Namun kini, ia diperluaskan dengan menguatkuasakan larangan di semua tempat awam termasuk taman, pantai, hotel, pejabat dan restoran.
Turut diharamkan sepenuhnya adalah pengiklanan, promosi dan tajaan oleh produk-produk tembakau. Ini bermaksud, iklan rokok juga tidak boleh dipaparkan di dalam kedai.
Selain itu, vape dan rokok elektronik juga tertakluk di bawah peraturan baharu itu, terutamanya di dalam bangunan.
Pengumuman terbaharu kerajaan Mexico itu disambut baik oleh Organisasi Kesihatan Pan Amerika yang memaklumkan bahawa penggunaan tembakau adalah satu-satunya punca kematian di dunia yang boleh dicegah.
Namun, bagi para perokok, mereka meluahkan kekecewaan terhadap undang-undang tersebut yang dianggap sebagai drakonian atau kejam kerana selepas ini, mereka hanya dibenarkan merokok di rumah atau kediaman peribadi. – Agensi