PUTRAJAYA – Buat julung kalinya, Menteri Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan datang melakukan kunjungan ke atas rakan sejawatnya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
Menurut kenyataan Wisma Putra, pertemuan berkenaan adalah bersempena lawatan kerja beliau ke Malaysia selama empat hari yang bermula pada hari ini sehingga Rabu depan.
“Lawatan rasmi beliau ini juga adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengukuhkan lagi siri hubungan erat sedia ada antara Malaysia dan Singapura,” katanya hari ini.
Kunjungan tersebut adalah yang julung kalinya diterima oleh Zambry sejak dilantik sebagai menteri ke-15 menerajui Wisma Putra pada 2 Disember tahun lalu.
Mengulas lebih lanjut, kenyataan itu memaklumkan bahawa kedua-dua menteri bakal bertemu bagi bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu berkepentingan bersama.
Beliau ujar Wisma Putra, juga dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur.
“Di samping itu, beliau akan mengadakan sesi pertemuan dengan beberapa menteri di bawah Kabinet pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang baharu,” jelas kenyataan itu lagi.
Lawatan kerja Vivian bakal memberikan peluang terbaik untuk Malaysia dan Singapura dalam mengukuhkan hubungan baik serta kerjasama pelbagai bidang antara dua negara.
Singapura sepanjang tahun lalu merupakan rakan perdagangan kedua terbesar Malaysia di peringkat global malahan yang paling besar dalam kalangan negara-negara ASEAN.
Republik tersebut merekodkan jumlah dagangan yang bernilai sebanyak RM336.73 bilion (AS$76.4 bilion) bertambah 30.8 peratus berbanding dicatatkan pada tahun sebelumnya. – KOSMO! ONLINE