IPOH – Kamasukan kira-kira 500,000 pekerja asing ke negara ini tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, kemasukan pekerja asing dari 15 negara sumber ke negara ini adalah untuk mengisi peluang pekerjaan yang tidak mendapat sambutan dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Kemasukan pekerja asing ini tidak menjejaskan malah ia membantu melonjakkan ekonomi negara yang berdepan dengan kegawatan ekonomi.
“Hal ini kerana, sektor swasta menghadapi masalah kekurangan pekerja terutamanya dalam sektor perkhidmatan, pembinaan, perladangan dan pertanian,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyalaan Tanglung di sebuah restoran di Pusing di sini hari ini.
Menurutnya, isu itu perlu diselesaikan dengan kadar segera kerana apabila sesebuah industri tidak dapat beroperasi, ia akan mengalami kerugian sekali gus menjejaskan ekonomi negara.
“Kebergantungan kita pada pekerja asing dalam sektor ini amat tinggi kerana apabila kekurangan tenaga kerja, industri tidak dapat berfungsinsecara optimal. Ini akan mengakibatkan kerugian besar kepada agensi.
“Ini kerana sewaktu pandemik Covid-19, lebih kurang 700,000 pekerja asing pulang ke negara mereka dan kemasukan semula mengambil masa yang panjang,” katanya.
Menurutnya, baru-baru ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah mempercepatkan proses kemasukan pekerja asing ke negara ini dalam masa tiga hari.
“Kita telah membuat keputusan untuk mempersingkatkan proses pengambilan pekerja asing hanya dalam tempoh tiga hari untuk memastikan kelompongan sektor pekerjaan yang kurang diminati rakyat tempatan dapat diisi,” katanya. – KOSMO! ONLINE