PETALING JAYA – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memaklumkan, selain daripada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, jawatan tertinggi parti itu pernah beberapa kali tidak dipertandingkan.
Antaranya kata beliau adalah pada tahun 1996, apabila Majlis Kerja Tertinggi (MKT) mencadangkan hanya untuk jawatan nombor 1 (Presiden) tidak dipertandingkan.
“Perwakilan mengemukakan usul baharu yang dipersetujui oleh Pengerusi Tetap ketika itu, Tan Sri Ninam agar dimasukkan juga jawatan nombor 2 (Timbalan Presiden) tidak dipertandingkan.
“PAU bersetuju. Ketika itu nombor 1 (Presiden) Tun Dr. Mahathir Mohamad dan nombor 2 (Timbalan Presiden) Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya di laman Facebook hari ini.
Begitu juga pada tahun 2001 kata Ahmad Shabery, apabila MKT bentangkan usul supaya tidak ada pertandingan jawatan Presiden ketika itu, Tun Mahathir serta Timbalannya, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan PAU bersetuju.
“Pada PAU 2022, tiada usul dari MKT, tetapi usul tambahan datang dari perwakilan. PAU bersetuju cara pengundian. Nombor 1 (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) dan nombor 2 (Datuk Seri Mohamad Hasan),” ujarnya.
Tambah bekas Ahli Parlimen Kemaman itu, berbanding parti-parti politik lain, UMNO paling banyak berlaku perubahan pucuk pimpinan partinya.
Terdahulu Kosmo! semalam melaporkan, perwakilan UMNO meluluskan usul agar tiada pertandingan dijalankan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden parti itu kali ini.
Ketua Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, perkara itu dicapai dan mendapat persetujuan majoriti perwakilan pada (PAU) 2022.
Menurut beliau, hampir 90 peratus perwakilan menyokong usul agar tiada pertandingan dijalankan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden parti. – KOSMO! ONLINE