PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan bahawa pihaknya tidak pernah terlibat dalam sebarang pelaburan patuh syariah seperti poster yang tular di laman sosial.
Menurut Ahli Parlimen Petra Jaya itu, poster tersebut adalah palsu dan beliau tidak pernah memberi izin kepada mana-mana pihak untuk menggunakan gambarnya.
“Saya ingin menyatakan bahawa saya tidak terlibat dengan pelaburan berkenaan dan saya tidak pernah memberi izin kepada mana-mana pihak untuk menggunakan gambar saya.
“Saya telah mengarahkan Pegawai Khas saya di Pusat Khidmat P.194 Petra Jaya untuk membuat laporan polis mengenai penyebaran poster berkenaan,” tulisnya di laman Facebook hari ini.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata poster palsu sama pernah disebarkan melalui perkongsian di media sosial pada tahun lalu oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Jelas beliau, laporan polis juga pernah dibuat oleh pegawainya pada 3 September tahun lalu mengenai penyebaran poster berkenaan di media sosial.-KOSMO! ONLINE