fbpx

Bukan pengundi hantu, itu Skuad Sabil – Ahmad Maslan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Maslan.

PETALING JAYA – Dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan terdapat ‘pengundi hantu’ yang dibawa masuk untuk meluluskan usul agar dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan adalah tidak benar.

Menjelaskan perkara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, individu yang didakwa dalam video tular tersebut sebenarnya pegawai-pegawai Skuad Sabil.

Jelas beliau, perkara itu disahkan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

“Pegawai tersebut adalah dalam kalangan Ketua Pemuda yang diamanahkan untuk mengurus dan menjaga keharmonian dalam dewan dan luar Dewan Merdeka.

“Lokasi video itu ialah di Bilik Terengganu iaitu bilik yang dikhususkan kepada Sekretariat Skuad Sabil,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pontian itu berkata, beliau sendiri akan meminta Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruddin untuk mengarahkan keluar sekiranya terdapat bukan ahli perwakilan di dalam dewan semalam.

Jelas beliau, diyakini 100 peratus tidak benar tuduhan liar itu dan ternyata ia berniat jahat serta fitnah.

“Kad yang tertera gambar perwakilan adalah dipakai sepanjang persidangan dan jiran-jiran kerusi perwakilan saling mengenali, malah pengacara juga umumkan agar perwakilan duduk di kerusi masing-masing yang telah ditetapkan,”ujarnya.

Terdahulu, Kosmo! semalam melaporkan, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendakwa wujud komplot ‘Dewan Merdeka’ bertujuan meluluskan usul tambahan dua jawatan tertinggi UMNO yang tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang.

Dakwa beliau, beberapa tanda nama yang dikhaskan untuk perwakilan UMNO pada kerusi dalam Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, telah ditanggalkan untuk undian usul sempena PAU 2022. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI