PETALING JAYA – Kota Semarak, sebuah pembangunan bercampur bertingkat tinggi dengan teknologi hijau bakal merancakkan lagi sektor hartanah di lokasi strategik di Kuala Lumpur dengan menawarkan pelbagai pilihan kediaman termasuk projek perumahan mampu milik iaitu Projek Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip).
Projek yang dibangunkan di Jalan Sultan Yahya Petra atau lebih dikenali dengan Jalan Semarak itu akan menjalani tiga fasa pembinaan dengan nilai pembangunan kasar berjumlah RM3.1 bilion.
Hartanah tersebut akan dimajukan oleh syarikat usaha sama antara TH Properties Sdn. Bhd. (TH Properties) dengan penguasaan ekuiti sebanyak 70 peratus manakala bakinya oleh Malaysia Resources Corporation Berhad (MRCB) untuk membangunkan 59 Inc. Sdn. Bhd. (59 Inc).
Pengarah 59 Inc dan juta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH Properties, Azman Ibrahim berkata, projek hartanah tersebut terdiri daripada komponen pangsapuri perkhidmatan, pejabat kedai dan pusat beli-belah.
Menurutnya, fasa 1A yang dijangka siap menjelang bulan Februari tahun 2027 itu akan melibatkan pembinaan sejumlah 1,226 unit pangsapuri perkhidmatan, termasuk 100 unit Rumawip di empat buah menara dan 87 unit pejabat kedai.
“Kota Semarak menawarkan reka bentuk kontemporari dan bersesuaian bagi unit-unit yang mempunyai dua hingga 4 bilik tidur, bersaiz antara 802 kaki persegi hingga 2,400 kaki persegi dengan susun atur yang teliti untuk memaksimumkan akses kepada pemandangan panorama.
“Ciri lain yang dicadangkan di projek tersebut adalah stesen pengecas kenderaan elektrik, stesen skuter Beam, keselamatan pelbagai peringkat, sistem pengurusan sisa pepejal dan penuaian air hujan.
“Sehubungan itu, pembeli hartanah Kota Semarak boleh menjangkakan kemudahan gaya hidup bandar dan infrastruktur yang komprehensif kerana lokasi pembangunannya yang strategik iaitu hanya kira-kira lima kilometer dari KLCC dan akses mudah ke lebuh raya DUKE,” katanya di sini.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan bersempena majlis pelancaran projek tersebut dan juga majlis menandatangani memorandum persefahaman antara TH Properties dan Bank Islam Malaysia Berhad untuk pembiayaan akhir serta bersama MBSB Bank Berhad untuk pembiayaan projek Kota Semarak.
Tambah Azman, TH Properties yang memiliki pengalaman luas dalam pembangunan hartanah kediaman dan komersial itu akan memberi penekanan kepada penyelarasan pembangunan yang menggalakkan gaya hidup lestari untuk pemilik rumah dan masyarakat sekitarnya.
“Menuju masa hadapan, kami memikirkan semula cara untuk menggabungkan lebih banyak ciri hijau dalam projek pembangunan kami dan memenuhi keperluan yang semakin meningkat untuk reka bentuk yang mengutamakan kehidupan pelanggan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE