fbpx

24 nelayan Vietnam dicekup, tak sempat ‘curi’ hasil laut negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Nor Adli (kiri) menunjukkan 24 nelayan warga Vietnam yang ditahan di perairan Kelantan selepas sidang akhbar di Pejabat APMM Kelantan di Tok Bali, Pasir Puteh hari ini. - Foto TOREK SULONG.

PASIR PUTEH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan empat bot pukat tunda dan 24 nelayan warga Vietnam di lokasi 167 kilometer (km) hingga 196 km dari Kuala Tok Bali di sini pada Khamis lalu.

Keempat-empat bot yang dinaiki empat tekong bersama 20 awak-awak berusia 14 hingga 64 tahun itu ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan menangkap ikan di perairan negara semasa anggota APMM menjalankan Op Naga Barat, Op Kuda Laut dan Op Damai di perairan Malaysia-Vietnam.

Pengarah APMM Kelantan, Syed Nor Adli Syed Ab. Rahman berkata, anggota APMM yang mengemudi Kapal Maritim Jujur melihat sebuah bot berada dalam keadaan mencurigakan pada pukul 6.52 petang sebelum mengesan tiga lagi bot nelayan asing di perairan negara kira-kira tiga jam kemudian.

Menurutnya, keempat-empat buah bot enggan memberi kerjasama dan cuba melarikan diri ke sempadan perairan negara ketika anggota penguatkuasa APMM memberi arahan untuk berhenti bagi pemeriksaan.

“Tindakan secara ‘force boarding’ terpaksa dilakukan semasa mengejar bot-bot berkenaan sebelum kesemua tekong mengalah dan mematuhi arahan APMM.

“Tekong dan awak-awak bot itu tidak melakukan sebarang tindakan agresif semasa pemeriksaan dijalankan. Berdasarkan siasatan awal, keempat-empat bot didapati terbabit dalam kegiatan menangkap ikan dan sotong,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat APMM Kelantan di Tok Bali di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Syed Adli memberitahu, pemeriksaan lanjut mendapati, bot-bot tersebut bagaimanapun tidak sempat menangkap hasil laut di perairan negara apabila bekalan ais di dalam tangki simpanan masih belum terusik selain tiada tangkapan ikan atau sotong dijumpai.

Katanya, keempat-empat buah bot, peralatan menangkap hasil laut, peralatan navigasi, peralatan komunikasi dan bekalan diesel sebanyak 1,200 liter yang dianggarkan bernilai RM1.66 juta turut dirampas.

“Proses membawa pulang bot ke jeti operasi APMM Tok Bali mengambil masa lebih 22 jam apabila salah sebuah bot mengalami kerosakan enjin.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan negara oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya.

Menurut Syed Adli berkata, empat tekong yang ditahan disyaki melanggar Seksyen 16(3) akta sama manakala 20 nelayan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika pemeriksaan dilakukan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI