fbpx

[VIDEO] PAU 2022: KJ dakwa wujud ‘pengundi hantu’, sekat pemilihan dua jawatan tertinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy Jamaluddin menerusi satu hantaran video di TikToknya sebentar tadi.

PETALING JAYA – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendakwa wujud komplot ‘Dewan Merdeka’ bertujuan meluluskan usul tambahan dua jawatan tertinggi UMNO yang tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang.

Khairy mendakwa, beberapa tanda nama yang dikhaskan untuk perwakilan UMNO pada kerusi dalam Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, telah ditanggalkan untuk undian usul pada petang ini sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022.

“Petang ini akan ada undi untuk usul tambahan ini dan saya difahamkan ia akan ‘dibulldoze’ (dilanggar).

“Malah, beberapa tag di kerusi di Dewan Merdeka yang dikhaskan untuk perwakilan bahagian telah dicabut dan ditanggal supaya perwakilan import boleh dibawa masuk untuk sorak (sokongan) dan ‘bulldoze’ usul supaya ia (jawatan Presiden dan Timbalan Presiden) tidak dipertandingkan,” katanya menerusi satu video di TikTok hari ini.

Semalam, Perwakilan Negeri Sembilan, Mohd. Shukri Samsudin telah mengemukakan usul tambahan agar dua jawatan tertinggi melibatkan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Usul berkenaan telah mendapat sokongan daripada Perwakilan Terengganu, Selangor, Perwakilan Wanita dan Pulau Pinang.

Sehubungan itu, Khairy Jamaluddin yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau itu menegaskan, ‘Langkah Dewan Merdeka’ perlu dihentikan oleh para perwakilan agar tidak ‘membunuh’ sistem demokrasi dalam UMNO.

“Jadi sangat penting perwakilan dalam UMNO jangan melakukan Langkah Dewan Merdeka untuk bunuh demokrasi dan menidakkan suara perwakilan di bahagian akar umbi dalam menentukan masa depan parti kita serta untuk memilih apa boleh dan siapa layak menerajui parti kita,” tegasnya.

Jelasnya lagi, naratif bahawa pemilihan akan membawa kepada perpecahan dalam UMNO itu sendiri adalah tidak benar sama sekali

“Saya berjanji pemilihan tidak akan membawa kepada perpecahan. Siapa yang menang dapat mandat daripada parti, dan siapa yang menang kita sokong dan ketepikan segala perbezaan selepas selesai pemilihan nanti.

“Itu budaya kita dalam UMNO. Pemilihan memang biasa, pertandingan memang biasa dan apabila sudah menang itu, kita move on (maju kedepan) sebab yang menang akan dapat mandat dan merapatkan saf balik,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI