TAMPIN – Seorang tukang masak di sebuah restoran di Kuala Lumpur maut selepas motosikal yang ditunggangi terbabit dalam kemalangan di simpang tiga berhampiran Pejabat Felda Jelai, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa, Mohamad Hanafi Abdul Ghani, 40, dikejarkan ke Klinik Kesihatan Jelai bagi rawatan lanjut namun meninggal semasa mendapatkan rawatan di klinik berkenaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab, kemalangan membabitkan motosikal yang ditunggangi mangsa jenis Honda RS dan sebuah lori yang masih dikesan.
“Hasil siasatan mendapati mangsa dalam perjalanan balik ke rumahnya di Felda Jelai 4 setelah selesai majlis perjumpaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelai (Felda).
“Setibanya di simpang tiga, motosikal dinaiki mangsa telah bergesel dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.
“Akibatnya, mangsa telah dibawa ke Klinik Kesihatan Jelai untuk menerima rawatan dan mangsa disahkan meninggal dunia pukul 4.40 petang semasa terima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Ujar Anuwal, pihaknya sedang mengesan pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE