PETALING JAYA – Penyanyi Shila Amzah mengingatkan kepada semua agar menjaga aib pasangan masing-masing terutamanya apabila sedang berdepan masalah ‘dalam kain’.
Menurutnya, permasalahan yang berlaku dalam rumah tangga adalah asam garam kehidupan yang perlu dilalui dan harus diselesaikan dengan cara yang elok.
“Satu benda yang kena ingat, dalam perkahwinan hanya ada suami dan isteri. Apa-apa yang terjadi dalam perhubungan, tidak kira ibu bapa atau kawan baik sekali pun tidak boleh tahu apa yang terjadi.
“Paling penting selesaikan permasalahan dengan cara yang baik. Jangan terlalu emosi,” kata pemilik nama lengkap Nurshahila Amir Amzah.
Penyanyi berusia 33 tahun itu turut mengakui kekurangan dirinya apabila mudah ‘cakap lepas’ tetapi masih meletakkan anak sebagai perkara utama sebelum melakukan apa-apa keputusan.
“Saya akui saya jenis cakap terus apabila ada yang menyoalkan apa-apa dan okey sahaja untuk menjawab. Namun, pada masa sama saya lebih fikir implikasi terhadap anak.
“Apa-apa kita buat, letakkan anak di tempat pertama sebelum diri kita,” jelasnya ketika ditemui pada sidang akhbar Konsert Jelajah Journey To The Future di The RuMa Hotel and Residences, semalam.
Sementara itu, Shila sempat berkongsi kisah lampau bersama bekas suami, Haris Idraki Elias sebelum mengambil keputusan untuk berpisah pada Februari tahun lalu.
“Dalam kes peribadi, saya tidak meletakkan anak sebagai perkara utama. Kalau tidak saya masih berada dalam perkahwinan tersebut.
“Saya yakin kena gembira terlebih dahulu baru fikirkan mengenai dia sebab tidak mahu kelihatan serabut. Balik kerja untuk jumpa anak jadi tidak seronok kerana masih berada dalam perkahwinan tersebut,” tuturnya.
Sempat meninggalkan pesanan, penyanyi lagu Patah Seribu itu berharap agar pasangan suami isteri yang mempunyai masalah untuk mengambil keputusan yang mampu membahagiakan diri sendiri tanpa memberi kesan buat anak.
“Anda boleh buat keputusan untuk diri sendiri tidak kira ada pasangan atau tidak. Kepada ibu dan ayah tunggal di luar sana, jangan takut dan malu.
“Kalau perpisahan buat anda lebih bahagia dan tidak memberikan implikasi buat anak, teruskan,” ujar ibu kepada Seth Uwais, 5, itu.
Pada Disember lalu, Shila melancarkan single terbaharu yang mendedahkan semua hubungan cintanya, sama ada sebelum berkahwin ataupun selepas bercerai yang memberikan pengalaman buruk buat dirinya.
Terdahulu, Shila sah bercerai talak satu dengan Haris Idraki pada 8 Februari 2022 selepas empat tahun mendirikan rumah tangga dan dikurniakan seorang cahaya mata bernama Seth Uwais, 5. – KOSMO! ONLINE