fbpx

Piala Dunia Hoki: Malaysia akur kehebatan Belanda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD Firhan Ashari (depan) berjaya melepasi kawalan pemain Belanda, Jip Janssen pada aksi Piala Dunia Hoki 2023 di Stadium Hoki Birsa Munda sebentar tadi. - FARIZ RUSADIO

ROURKELA – Pujian wajar diberikan kepada skuad hoki negara kerana memberikan tentangan sengit kepada gergasi No.3 dunia, Belanda biarpun tewas 0-4 pada aksi pertama Kumpulan C Piala Dunia Hoki 2023 sebentar tadi.

Walaupun kemenangan menjadi milik The Oranje tetapi naib juara edisi 2014 dan 2018 itu terpaksa mencari jalan dan hanya meraih gol disebabkan kesilapan pemain negara pada aksi di Stadium Hoki Birsa Munda.

Penjaga gol, Muhammad Hafizuddin Othman sudah beraksi cemerlang sepanjang 15 minit pertama apabila menafikan beberapa percubaan berbahaya daripada pukulan sudut penalti skuad kendalian Jeroen Delmee itu.

Hasrat Malaysia, No.11 dunia, untuk meneruskan kekebalan di suku kedua tidak kesampaian apabila Thijs van Dam memanfaatkan kesilapan di bahagian belakang dengan melakukan pukulan deras menewaskan Hafizuddin pada minit ke-20.

Gol itu seperti ‘membuka pintu’ buat Belanda menggandakan kedudukan melalui Jip Janssen pada minit ke-24 selepas menyempurnakan penalti stroke disebabkan kesilapan Muhammad Amirul Hamizan Azahar.

Situasi itu mengubah rentak permainan skuad negara kendalian A. Arul Selvaraj apabila bangkit menguasai penghujung suku masa kedua, namun beberapa percubaan terutama daripada Faizal Saari gagal menembusi gawang Belanda.

Jentera serangan negara yang lain juga bekerja keras selepas aksi bersambung di babak kedua dengan asakan demi asakan dilakukan bagi mendapatkan pukulan sudut penalti untuk mencari sekurang-kurangnya satu gol.

Sebaliknya, Belanda yang pernah menjuarai tiga Piala Dunia itu berjaya meledak gol ketiga dan keempat perlawanan menerusi pukulan sudut penalti Teun Beins (m-48) serta jaringan padang Jorrit Croon pada minit ke-60.

Perlawanan seterusnya buat Malaysia bagi saingan Kumpulan C di Stadium Hoki Birsa Munda pada Isnin ini adalah menentang pasukan No.22 dunia dari Amerika Selatan, Chile yang tewas 1-3 kepada New Zealand hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI