fbpx

Perairan Kuantan ‘port’ buru ebek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MIE menunjukkan ikan ebek yang berjaya dipancingnya di Lubuk Ebek, Kuantan, Pahang.

LAUT menawarkan banyak lubuk yang boleh diterokai pemancing yang suka memburu ikan air masin.

Memandangkan laut itu luas, kebiasaannya lubuk ikan hanya diketahui oleh kumpulan pemancing yang sering meneroka kawasan berkenaan untuk memancing.

Tidak hanya itu, nama-nama lubuk memancing di laut juga biasanya diberikan oleh para pemancing.

Justeru, tidak hairanlah sekiranya sesuatu kawasan lubuk itu mempunyai pelbagai gelaran.

Salah seorang pemancing tegar di laut Kuantan, Pahang, Mohd. Jamizan Abd. Jabar, 42, berkongsi tentang satu lokasi memancing di tengah laut yang dikenali sebagai Lubuk Ebek.

Seperti pemancing lain, Mohd. Jamizan atau lebih mesra disapa sebagai Mie berkata, kawasan tersebut digelar sebagai Lubuk Ebek kerana ia merupakan tempat tumpuan ikan ebek.

“Setiap kali memancing di sini kami sering mendapat ikan ebek. Disebab itu, saya panggil kawasan ini sebagai Lubuk Ebek.

“Lubuk ini tidak pernah mengecewakan saya. Setiap kali ke sini pasti ada habuan, bukan sekadar ebek tetapi ada kalanya boleh dapat tenggiri dan GT,” katanya.

Tambah bapa kepada dua cahaya mata itu, dia juga pernah mendaratkan kerapu di lubuk tersebut, di mana ia merupakan spesies yang jarang berada di kawasan tersebut.

Kongsi Mie lagi, Lubuk Ebek terletak kira-kira 32 kilometer dari darat (Jeti Cenderawasih) mengala ke arah Pekan.

Katanya, dia sering ke lubuk tersebut sekurang-kurangnya sekali seminggu.

PEMANCING disarankan menggunakan umpan udang hidup bagi memburu ebek yang berada di dasar laut. – Gambar hiasan

Dalam pada itu, Mie berkongsi tip untuk memancing ebek yang berada di dasar laut.

“Untuk memancing ebek, apa yang diperlukan adalah umpan hidup, biasanya saya menggunakan udang.

“Kelengkapan memancing juga perlu bersesuaian kerana untuk memburu ebek, kita akan menggunakan teknik bottom (memancing dasar),” ujarnya.

Menurutnya lagi, jika mahu menangkap tenggiri, dia akan menggunakan umpan tiruan dan memancing dengan teknik jigging (memancing permukaan).

Bagi mereka yang mahu mencuba memancing di Lubuk Ebek, Mie menyarankan supaya merancang perjalanan ke kawasan tersebut terlebih dahulu.

Jelasnya, cuaca dan keadaan air di kawasan lubuk tersebut sukar diduga.

Tambah Mie lagi, hal tersebut merupakan antara cabaran memancing di laut dan boleh mengundang risiko kemalangan jika tidak diberi perhatian.

“Memancing di laut ini bergantung kepada nasib. Jika cuaca baik dan laut ada arus, mudah untuk kita dapat ikan. Andai sebaliknya, kita terpaksa pulang dengan tangan kosong.

“Untuk memancing di laut terutama di sebelah Pantai Timur, saya sarankan untuk datang sebelum musim tengkujuh iaitu antara Mei hingga Oktober,” katanya.

Tambahnya lagi, setiap kali memancing, dia akan keluar awal pagi dan pulang menjelang senja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI