DALAM kalangan pengguna media sosial, sikap Fikry Ibrahim yang suka bergurau menerusi foto dan video parodi bukan satu perkara pelik. Nama pun pelawak.
Terbaharu, Fikry mencuri perhatian ramai apabila muncul dalam sebuah video seolah-olah dia sedang mendengar khutbah Jumaat di sebuah masjid di India.
“Saat dijemput tunaikan solat Jumaat di negara India,” tulisnya ringkas.
Aksinya yang bersahaja dan lengkap memakai kopiah, kain pelikat dan baju-T membuatkan ramai tidak kering gusi dibuatnya.
“Fikry ini bila sahaja tidak kelakar? Penatlah dengan perangai dia,” seloroh netizen.
“Walaupun dikelilingi bangsa lain, awak tetap paling kacak di situ meskipun wajah terpinga-pinga,” kata netizen.
Video tersebut yang dimuat naik dalam TikTok miliknya ditonton lebih dua juta kali dan meraih 200,000 tanda suka.