fbpx

Bangunan ‘near to langit’, tapi jalan macam lepas dibom

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemandangan bandar raya Kuala Lumpur dan bangunan pencakar langit.

Ketika anda memandu memasuki Kuala Lumpur sama ada melalui Plaza Tol Sungai Besi, Jalan Selayang, Plaza Tol Gombak atau Plaza Tol Jalan Duta, terdapat kegirangan memasuki ibu kota terbesar di negara ini.

Apa yang menarik perhatian bangunan-bangunan pencakar langit atau ‘near to langit’. Sejak kecil, itu ingatan yang kekal terpahat di fikiran apabila memasuki Kuala Lumpur. Keseronokan seorang anak kecil memasuki bandar besar. Hari ini, perasaan sama tetap dirasai walaupun bagi mereka yang setiap hari memasuki sempadan Kuala Lumpur.

Ibu negara masih memegang takhta ada menara berkembar tertinggi di dunia. Merdeka 118 pula bangunan kedua tertinggi di dunia mengatasi Shanghai Tower. Kita juga ada Menara TRX dan banyak pencakar langit lain.

Setiap plot tanah walaupun sekangkang kera menjadi bangunan kediaman tinggi. Lot perniagaan dan runcit memenuhi hampir setiap ruang. Tidak payah pergi jauh, jumlah kenderaan menggunakan Lebuh Raya Persekutuan sahaja lebih 1.6 juta sehari, sebahagian besar memasuki Kuala Lumpur. Itu belum lagi dari selatan dan timur.

Daripada bandar perlombongan kini menjadi metropolis dengan jutaan penduduk yang tinggal atau mencari rezeki. Semua rakyat berbangga dengan pencapaian ini. Negara berusia kurang 65 tahun, tetapi pencapaian cemerlang. Apa yang mencacatkan kemegahan struktur yang menggamit langit adalah kemudahan asas seperti jalan raya.

Cuba memandu di kawasan seperti Jalan Enggang di Keramat atau Jalan Ampang, Sungai Besi (bandar) dan beberapa jalan lain, ia tidak menggambarkan anda berada di sebuah ibu negara.

Jalan beralun, berlopak dan seperti tidak diuruskan. Jalan digali untuk ditanam kabel atau paip, tetapi selepas diturap rasanya mahu ‘absorber’ kereta koyak kalau setiap hari digunakan. Mungkin mereka yang bertanggungjawab menguruskan infrastruktur asas ini tidak tinggal di kawasan terbabit. Mereka tidak tahu keadaan sebenar jalan-jalan ini.

Infrastruktur asas lain juga tidak ada bezanya. Sistem saliran dan parit tersumbat sentiasa menjadi alasan apabila banjir kilat.Tetapi siapa yang meninjau setiap parit atau lubang saliran dari jalan-jalan yang memasuki sistem perparitan.

Kebanyakan lubang saliran jalan ke longkang sama ada dipenuhi sampah atau rumput atau tanah. Longkang menjadi cetek kerana tiada kerja pembersihan.

Perangai manusia membuang semua benda tidak membantu, tetapi pihak berkuasa tempatan yang mengaut ratusan juta ringgit daripada cukai pintu, iklan, lesen perniagaan harus melihat bahawa tugas utama bukan untuk meluluskan pembinaan bangunan.

Kepada mereka yang pernah ke negara barat akan melihat bagaimana ibu negara mereka dijaga dan ia bukan mengenai bangunan tinggi.

Tidak perlu pergi jauh, di negara jiran, Indonesia di beberapa bandar, di bawah jalan raya sudah terbina sistem terowong longkang bawah tanah setinggi dua meter yang memastikan pengaliran air.

Kita terlalu bermegah kononnya mempunyai struktur tertinggi, tetapi di bawah struktur berkenaan, tiada beza dengan negara kelas ketiga.

Ia kini seperti memakai baju Melayu lengkap bertanjak, butang baju berkilau dan bersamping sutera seperti untuk menikah, tetapi memakai seluar pendek yang koyak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI