MELAKA – Perbuatan seorang tukang cuci menumbuk, menghentak kepala dan menampar muka ahli keluarganya serta melakukan khianat, berbalas apabila dijatuhi hukuman penjara 36 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Zamri Husin, 36, yang mengaku bersalah sejurus empat pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh dengan sengaja didapati telah menyebabkan kecederaan terhadap anak tiri, menantu dan isterinya yang berumur 30 hingga 55 tahun dengan cara menumbuk belakang tengkuk, leher, dada dan kepala serta menarik rambut, menghentak kepala, menampar muka dan menyiku pipi.
Kesalahan itu dilakukan antara pukul 7.30 pagi hingga 4.30 petang di sebuah rumah bernombor, Jalan Kemboja 2, Taman Paya Rumpur Perdana dalam daerah Melaka Tengah, pada 8 Januari 2023.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda tidak melebihi RM2,000 mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didapati telah melakukan khianat dengan menendang pintu bahagian penumpang belakang sebelah kanan kereta jenis Proton Waja sehingga kemek milik menantunya yang menyebabkan kerugian kira-kira RM500.
Kesalahan itu dilakukan pada pukul 4.30 petang di luar rumah di lokasi sama pada 8 Januari 2023.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman denda dikenakan dengan alasan mempunyai anak yang masih bersekolah dan bekerja sebagai tukang cuci.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Fikri Hakim Zamri, memohon agar hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira tertuduh telah mencederakan tiga ahli keluarganya.
Setelah mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan bagi setiap pertuduhan pertama hingga ketiga dan penjara 12 bulan bagi pertuduhan keempat.
Majistret Sharda Shienha bagaimanapun mengarahkan kesemua hukuman tersebut berjalan serentak dari tarikh sabitan. – KOSMO! ONLINE