ALOR GAJAH – Sebanyak 2 juta kenderaan dijangka menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan bermula 19 sehingga 24 Januari ini sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.
Pengerusi Plus Malaysia Berhad, Datuk Mohamad Nasir Ab. Latif berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan kira-kira 20 peratus berbanding hari-hari biasa.
Katanya, justeru Plus akan mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk membantu mengagihkan trafik, sekali gus pengguna dapat merancang perjalanan di lebuh raya.
“Selain daripada mengeluarkan jadual TTA, kami akan menghentikan sementara semua kerja-kerja penyelenggaraan jalan yang memerlukan penutupan lorong pada 20 Januari sehingga 25 Januari ini bagi memastikan semua lorong boleh digunakan.
“Pelbagai persediaan dari sudut operasi lebuh raya turut dilakukan bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang selamat, lancar dan selesa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Op Selamat 19/23 Bersempena Sambutan Tahun Baharu Cina yang dirasmikan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain di Restoran Jejantas Ayer Keroh di sini, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, fokus Plus pada tahun ini adalah untuk mengurangkan kadar kemalangan yang membabitkan penunggang motosikal dan kenderaan-kenderaan berat.
“Oleh itu kami berkolaborasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam meningkatkan aspek-aspek penguatkuasaan undang-undang di lebuh raya kendalian kami.
“Untuk makluman, penunggang motosikal menyumbang sebanyak 64 peratus daripada jumlah keseluruhan kemalangan maut di lebuh raya pada 2022,” katanya.
Mohamad Nasir berkata, pada musim perayaan akan datang, pihaknya menggalakkan pengguna aplikasi Plus, Waze dan Google Maps untuk menyemak kelancaran trafik sebelum merancang perjalanan ke destinasi masing-masing. – KOSMO! ONLINE