TAMPIN – Seorang penjawat awam mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Tampin, di sini, hari ini atas kesalahan memiliki cecair (vape) yang mengandungi dadah jenis ketamin di Pasir Besar, di sini Selasa lalu.
Tertuduh, Aznil Hafiz Mohammad @ Basiron, 31, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret, Kartini Kasran.
Berdasarkan pertuduhan, pada pukul 8.30 malam, 10 Januari lalu, di bilik pertama sebuah rumah di Felda Pasir Besar, Gemas di sini didapati memiliki ketamin dengan anggaran isipadu 280 mililiter (ml).
Sementara itu, dalam pertuduhan berasingan, dua pekerja kedai Aznil Hafiz iaitu Muhammad Hakimie Mazelan, 23, dan Muhammad Harith Abdul Halim, 18, turut mengaku salah atas tuduhan memiliki cecair mengandungi dadah.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yap Tsu Sheng, manakala tertuduh diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 23 Februari ini. – KOSMO! ONLINE