PASIR PUTEH – Longgokan sampah yang dibiarkan berselerak di luar tong berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Cherang Ruku di sini, bukan sahaja mencacatkan pemandangan, malah menjadi lubuk bagi anjing dan lembu mencari makanan.
Tinjauan Kosmo! mendapati, masalah yang berlaku sejak beberapa minggu lalu itu menimbulkan rasa kurang senang penduduk termasuk murid sekolah apabila mereka terpaksa menghidu bau busuk hampir setiap hari.
Seorang penduduk, Ismail Mohammed, 35, berkata, masalah bertambah teruk apabila sampah itu lambat dikutip oleh pihak berwajib sehingga berselerakan di atas jalan raya.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan haiwan ternakan penduduk seperti lembu ‘menceroboh’ kawasan berkenaan untuk mencari makanan.
“Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memungut sampah secara kerap dan berkala di kawasan ini kerana ia terletak berhampiran sekolah. Saya bimbang bau busuk ini akan memberi rasa kurang selesa kepada pelajar di SK Cherang Ruku dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cherang Ruku.
“Tindakan segera perlu diambil kerana kawasan berkenaan turut menjadi lokasi pembiakan lalat yang dibimbangi boleh menyebabkan penyakit,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Ab. Ghani Ismail, 40, memberitahu, penduduk tiada pilihan lain apabila terpaksa membuang sampah di luar memandangkan tong yang disediakan sudah penuh.
“Pemungut barangan lusuh juga perlu lebih peka dengan tidak mengusik sampah yang dibuang di dalam tong sampah bagi mengelakkan ia berselerak,” tegasnya.
Sementara itu, jurucakap Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) ketika dihubungi berkata, tindakan segera akan diambil bagi memberi keselesaan kepada warga sekolah selain menasihatkan penternak supaya tidak melepaskan haiwan ternakan mereka.
Katanya, jumlah sisa buangan sampah didapati bertambah sekali ganda selepas musim banjir berbanding sebelumnya.
“Tindakan segera akan dilaksanakan bagi menyelesaikan isu sampah ini,” katanya. -KOSMO! ONLINE