SHAH ALAM – Kerajaan negeri mengarahkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor untuk menyemak dan mengemaskini Prosedur Operasi Standard (SOP) di pusat kurungan masing-masing dalam memastikan kebajikan haiwan kurungan dapat dipelihara.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam negeri, Ng Sze Han berkata, ini kemudiannya akan dibentangkan kepada kerajaan negeri supaya penambahbaikan mengenai dapat dibuat.
“Ini termasuk melihat kepada cadangan ke arah SOP yang lebih seragam serta keperluan naik taraf pusat kurungan dapat dibincangkan.
“Kerajaan negeri komited dalam memastikan haiwan-haiwan jagaan di pusat kurungan di Selangor berada dalam keadaan yang baik dan terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, kerajaan negeri menjunjung kasih keprihatinan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang melahirkan rasa dukacita terhadap keadaan haiwan di pusat kurungan anjing yang tular baru-baru ini milik Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).
Kosmo! semalam melaporkan semua pihak berkuasa terutama majlis-majlis perbandaran di Selangor digesa agar memperbaiki dan menaiktaraf tatacara pengurusan di pusat-pusat kurungan anjing dan kucing kendalian mereka.
MPKL dalam kenyataan sebelum ini pihaknya tidak memandang remeh soal kebajikan anjing yang telah mereka tangkap, hasil maklumat dan laporan orang awam.
“Semua anjing yang ditangkap itu dijaga di pusat kurungan dengan diberi makan dua kali sehari iaitu waktu pagi dan waktu petang dengan makanan khas, serta ditempatkan di tempat bersesuaian sepanjang berada dalam kurungan.
“MPKL turut menambah baik pengurusan pusat kurungan supaya lebih teratur dari segi jadual pembersihan dan pengendalian tatacara pemberian makanan kepada anjing-anjing yang ditangkap. Selain itu, bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO), untuk mengambil dan menjaga haiwan tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE