fbpx

Kontroversi beri impak, ganggu karier Ismail Izzani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BUKAN sengaja melarikan diri tetapi kata Ismail, tindakan membuka mulut ketika kontroversi membabitkan dirinya masih hangat seperti membuang masa kerana orang tetap menghakimi dirinya.

KUALA LUMPUR – Selepas beberapa kali mengelak menjawab kontroversi video panas di kelab malam membabitkan dirinya pada tahun lalu serta tindakan ‘melarikan diri’ daripada media, penyanyi Ismail Izzani akhirnya tampil menjelaskan keadaan sebenar.

Menurut Ismail, 23, kejadian video tular tersebut benar-benar meninggalkan impak buat dirinya sehingga turut mengganggu konsentrasi kariernya.

Kejadian yang berlaku bagaimanapun membuatkannya bangkit daripada kesilapan lampau.

“Perkara ini beri kesedaran buat saya. Sewaktu kejadian saya rasa kehilangan dan tidak dapat berfikir sehingga melengah-lengahkan karier.

“Saya tidak merungut tetapi bersyukur atas apa yang telah berlaku kerana jika tidak saya tidak akan menjadi seperti sekarang.

“Saya tetap berada di sini meneruskan karier sebagai penyanyi dan sekarang sedang menjalani penggambaran,” katanya ketika ditemui di Listening Party M16 di sini, semalam.

Disebabkan kontroversi yang berlaku, Ismail akur dengan kesilapan dilakukannya dan mahu kembali bekerja keras serta cuba menjadi yang terbaik.

“Sayang juga kerana telah melengahkan karier tetapi itu pilihan yang saya buat. Jadi sekarang yang saya buat untuk bangun semula dengan lebih kuat.

“Saya tidak akan pernah berhenti mempercayai diri sendiri dan akan cuba yang terbaik. Kalau orang mahu mengata saya, teruskan. Saya memang buat kesilapan,” ujar pelantun lagu Luar Biasa itu.

Kata pemilik nama lengkap Ismail Izzani Zainal Nazeri itu, keputusan ‘mengunci mulut’ memang sengaja dibuat untuk meredakan keadaan yang sedang hangat.

“Dipendekkan cerita, waktu tersebut semua tengah tegang dan bagi saya semua pihak mahukan jawapan.

“Kalau saya berikan penjelasan ketika itu, rasa buang masa kerana orang akan tetap menghakimi apa saya lakukan. Saya cuba untuk mempertahankan diri dan mengakui salah saya pada ketika itu,” jelasnya.

Terdahulu, Ismail tampil bersuara berhubung video tular memaparkan seorang lelaki miripnya memeluk wanita seksi di sebuah kelab sambil mencium bahagian pipi dan leher dalam keadaan ghairah.

Sebelum ini, dia juga ‘melarikan diri’ daripada media kerana didakwa enggan menjawab soalan berhubung kontroversi yang melanda dirinya ketika itu.

Kontroversi sebegini bukan kali pertama berlaku kerana Ismail pernah dikecam berpelukan dengan seorang pelakon wanita di kelas malam beberapa tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI