KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bersedia dikenakan tindakan oleh UMNO selepas didakwa menjadi ‘pengkhianat’ dalam parti berkenaan.
Menurut Hishammuddin, sehingga hari ini, beliau masih tidak mengetahui mengapa beliau dituduh sedemikian.
“Saya cukup yakin bahawa apapun yang berlaku tiada benda yang patut kita minta maaf sehingga dituduh mengkhianati parti.
“Saya juga bersetuju apa yang disebut oleh Ahli Parlimen Jelebu sebelum ini kerana itu adalah fakta.
“Kalau itu yang perlu saya sahkan atau mereka hendak ambil tindakan, ambillah. Tiada apa yang perlu saya bimbang kerana kita konsisten dari peringkat awal usaha untuk bersama Pakatan Harapan (PH) adalah bercanggah dengan pendirian parti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Ucapan Dasar Presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.
Hishammuddin memberitahu, pihaknya mengambil tindakan berkecuali dan menarik semula Akuan Bersumpah (SD), namun selepas Yang di-Pertuan Agong bertitah supaya mewujudkan Kerajaan Perpaduan kerana itu kehendak parti, mereka tetap bersetuju.
“Jadi di mana pengkhianatannya? Saya nak ingatkan semua pihak, orang di luar sana agak mual, menyampah dan bosan dengan cara kita berbalah, bertelagah dan menuduh sesama kita.
“Penting untuk parti lihat ke hadapan, kita akan berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan kita telah kalah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
“Saya harap apa yang kita dapat bincangkan dalam Perhimpunan Agung dapat mengurangkan jurang kepercayaan orang ramai terhadap parti dan perjuangan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE